Aplikasi Persidangan Beri Penjelasan, UMNO Tak Pernah Ikut Telunjuk Pihak Lain – Tuminah

TANGGA BATU, 13 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim menolak dakwaan yang dimomokkan pihak tertentu kononnya UMNO sudah tidak ada arah tuju dan hanya ikut telunjuk Dap selepas berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Ujarnya, dakwaan tersebut adalah tidak benar maka hal tersebut mesti dijelaskan oleh kepimpinan parti yang kini sedang mengadakan persidangan di peringkat akar umbi iaitu mesyuarat Cawangan UMNO.

Tegasnya, persidangan yang berlangsung sekarang ini mesti dijadikan ruang untuk menjelaskan kepada ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi bahawa parti ini masih kekal dengan teras perjuangan asal iaitu demi agama, bangsa dan negara.

“Kerajaan sekarang ini adalah gabungan yang dilaksana sebagaimana titah Agong bagi masa depan Malaysia. UMNO masih lagi UMNO yang dulu dan parti kita adalah parti yang diwujudkan untuk perjuangan agama, bangsa dan negara.

“Apa yang penting adalah faham bagaimana kedudukan parti kita dan bagaimana pentadbiran parti kita hari ini. Ini kerana apa yang dicanangkan adalah perkara tidak benar… kenapa orang nak berkata tentang parti iaitu asasnya nak melemahkan UMNO.

“Mereka menyerang kepimpinannya, mengata ketua kita kerana tahu bahawa jatuhnya sesebuah parti apabila ketuanya lemah namun selagi kita menyokong ketua kita maka perjuangan parti akan dapat diteruskan,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam hal ini, beliau meminta ahli-ahli UMNO untuk imbas kembali bagaimana keadaan parti apabila tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 lalu.

“Ingat balik sewaktu UMNO tidak ada apa-apa iaitu semasa tewas, menjadi pembangkang dan tak ada kuasa maka siapa ketua kita iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid dan sekarang apabila UMNO berada bersama dalam kerajaan maka ramai yang nak jatuhkannya untuk melemahkan UMNO.

“Kerana itu kita mahukan penerangan dilaksana, perkara sebenar perlu disampaikan kepada akar umbi dan biarlah akar umbi dapat penjelasan yang betul menerusi mesyuarat cawangan yang ada.

“UMNO ini adalah parti keramat yang bukan sembarangan, pelbagai rintangan telah dilalui namun ada satu jati diri dalam ahlinya yang tak akan pernah luntur. UMNO masih di landasan perjuangan asal. Kita perlu beri penerangan hingga ke akhirnya ahli kita yang jadi pemimpin-pemimpin dapat menguasai komuniti dalam kawasan dan memberikan penerangan kepada akar umbi.”

Ujar beliau lagi, yang penting penyampaian jelas dan penerangan secara berfakta daripada kepimpinan atas untuk ketua-ketua cawangan lantas diberikan terus kepada ahli-ahli akar umbi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.