Ada Parti Mahu Ganti UMNO… Perjuangan Mereka Tidak Akan Pernah Sama – Shamellya

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Meskipun ada parti yang masih lagi berusaha untuk menggantikan UMNO, perjuangan mereka sudah semestinya tidak akan sama, kata Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Shamellya Norazizi.

Menurutnya, UMNO merupakan sebuah parti tunjang utama kepada pembangunan negara sejak tujuh dekad lalu dan beliau mengharapkan agar ia terus maju ke hadapan menongkah arus pergolakan politik persepsi.

“Sepanjang tujuh dekad UMNO telah meneraju negara sebelum ini dan menjadi salah satu parti tunjang utama kepada pembangunan, kemodenan dan sebagainya.

“Saya mengharapkan UMNO akan terus maju walau apa jua cabaran, rintangan, tohmahan, hinaan, cacian dan apa sahaja yang diterima oleh UMNO selama tujuh dekad ini.

“Saya kira itu merupakan satu penguat semangat kepada ahli-ahli UMNO terutamanya untuk kekal berjuang dengan perjuangan yang kita bawa daripada zaman nenek moyang sehingga generasi yang sekarang ini,” katanya kepada UMNO Online.

Tambahnya, jasa dan pengorbanan UMNO dalam membangunkan negara dan melahirkan generasi pemimpin sudah semestinya tidak dapat dilupakan.

“Jasa itu memang tidak boleh dilupakan kerana ia telah menjadikan Malaysia sekarang menjadi salah sebuah negara yang dipandang tinggi.

“Pada dahulunya pun kalau kita perasan pemimpin-pemimpin yang telah keluar daripada parti sekalipun mereka berasal daripada UMNO… dan kebanyakan pemimpin-pemimpin yang ada dalam mana-mana parti politik lain pun adalah hasil tuaian daripada UMNO itu sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa UMNO sentiasa kekal berpegang kepada prinsip perjuangannya iaitu mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.

“Sekiranya ada parti lain yang mahu menggantikan UMNO, tak akan pernah sama sebab UMNO akan kekal dengan perjuangannya untuk agama bangsa dan tanah air.

“Apapun jua yang dilakukan di luar sana (parti lain) sama ada mahu mengikut warna baju, cara persidangan, mempunyai sayap wanita muda dan sebagainya yang sama juga seperti UMNO, tidak akan pernah sama sebab biasanya yang ‘original’ itulah yang akan sentiasa kekal di hati rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.