Ahmad Zahid Rasmikan Persidangan Cawangan, Yakin Lebih Ramai Bakal Sertai UMNO

BAGAN DATUK, 12 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah merasmikan Mesyuarat Cawangan-cawangan Empat Peringkat UMNO Bahagian Bagan Datuk hari ini dan yakin bahawa lebih ramai masyarakat akan menyertai parti keramat itu.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menzahirkan rasa syukur kerana meskipun terdapat segelintir ahli meninggalkan parti ketika pergolakan politik berlaku, tiada satu pun cawangan dibubarkan.

“Saya difahamkan bahawa enam cawangan telah pun bermesyuarat. Saya ucapkan tahniah kepada cawangan-cawangan tersebut. Di Terengganu saya diberitahu kehadiran ahli cawangan-cawangan sangat luar biasa walaupun pada tahun ini tiada pemilihan.

“Dua hari lepas saya pergi ke Sabah dan diberitahu bahawa mereka yang telah keluar UMNO dan menyertai parti lain, datang semula ke mesyuarat cawangan. Di Pulau Pinang dan Selangor juga sama.

“Alhamdulilah, seperti yang saya ucapkan malam tadi walaupun ada orang UMNO ataupun ahli yang keluar parti, tidak ada satu cawangan pun yang dibubarkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan Majlis Perasmian Mesyuarat Cawangan-Cawangan Empat Peringkat UMNO Bahagian Bagan Datuk.

Menurutnya, akar umbi masih lagi teguh setia bersama UMNO untuk meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.

“Ini membuktikan adanya akar umbi, tetap bersama-sama dengan UMNO untuk meneruskan perjuangan. Kita ada 21,000 cawangan di seluruh negara. Tiada satu cawangan pun dibubarkan.

“Jadi, dalam keadaan itu kita bina semula di Bagan Datuk ini. UMNO masih menjadi pilihan. Oleh itu, Wanita, Pergerakan Puteri dan Pemuda saya harap keahlian di cawangan-cawangan anda akan bertambah

“Tak kenal maka tak cinta. Oleh sebab itu, kita kenalkan lagi parti kita ini kepada orang umum meskipun pada ketika ini, parti ini menjadi pilihan… dengan keahlian yang bertambah saban hari,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan selamat bersidang kepada semua ahli.

“Saya ucapkan selamat bersidang kepada cawangan-cawangan di Bagan Datuk dan sampaikan salam saya kepada kepimpinan serta ahli di semua cawangan,” katanya lagi.

Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Khairuddin Tarmizi; Naib Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Shahrul Zaman Yahya; Ketua Wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk, Zarozatin Isa; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk, Muhammad Nabil Saleh dan seluruh kepimpinan empat peringkat cawangan-cawangan Bagan Datuk. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.