6 PDM Melayu Kembali Dirampas, Tahniah Seluruh Jentera UMNO Dan BN – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki merakamkan setinggi-tinggi syabas dan penghargaan kepada seluruh jentera UMNO terutamanya Bahagian-bahagian Negeri Selangor termasuk jentera utama Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO yang berjaya membantu calon Kerajaan Perpaduan memperoleh kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, semalam.

Katanya, kejayaan ini diketuai oleh Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang telah berkampung di PDM-PDM seluruh DUN Kuala Kubu Baharu bagi memastikan kemenangan calon mewakili Kerajaan Perpaduan dari Parti Pakatan Harapan.

“Hasil kerja kuat semua juga termasuk sokongan dan dokongan jentera UMNO daripada Negeri-negeri juga telah memungkinkan untuk kemenangan di enam daripada lapan PDM majoriti pengundi Melayu berbanding keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lepas yang menyaksikan Parti Pakatan Harapan kalah di semua lapan PDM ini,” ujarnya dalam hantaran menerusi laman Faceboonya berkaitan keputusan PRK.

Ujar beliau, kemenangan ini membuktikan bahawa pengundi Melayu sudah berubah sikap dan mula menyedari hakikat bahawa sentimen perkauman dan agama tidak boleh lagi dijadikan cagaran untuk meraih undi.

“Malah mereka mula memahami bahawa Kerajaan Perpaduan Malaysia yang terbangun atas Titah Tuanku Agong ini tidak pernah sesekali meminggirkan agenda Islam dan Melayu-Bumiputera, malah terus diperkasakan sebagai asas kestabilan negara berbilang kaum dan agama.

“Insya-Allah UMNO sebagai salah satu daripada 19 parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ini akan terus mempertahankan agenda Islam dan Melayu-Bumiputera sebagaimana perjanjian yang dimeterai dan dipersetujui oleh semua.

“Yang penting lanskap politik baharu ini perlu diperkasakan demi kestabilan dan kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya lagi.

Semalam, Pang Sock Tao, yang bertanding atas tiket PH mewakili Kerajaan Perpaduan, menang dengan majoriti 3,869 undi menewaskan tiga pencabarnya, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia).

Sock Tao memperoleh 14,000 undi manakala Khairul Azhari meraih 10,131 undi, Ke Xin (188) dan Hafizah (152). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.