UMNO Wadah Penting Sejarah Malaysia, Perjuangannya Bawa Kehidupan Lebih Baik – Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR, 11 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO telah melalui pelbagai zaman dan kepimpinan, mendepani segala rintangan dan ujian di persada politik negara ini selama 78 tahun lamanya.

Justeru katanya, wadah inilah yang memainkan peranan penting dalam sejarah Malaysia sejak daripada awal penubuhannya sehingga ke hari ini.

“Jasa dan perjuangan para pemimpin dan ahli UMNO terdahulu telah membawa kepada kehidupan yang lebih baik buat ahli atau rakyat secara keseluruhannya.

“Setelah hampir lapan dekad usianya, tentu sekali UMNO telah melalui pelbagai fasa dalam memastikan kelangsungannya,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebooknya.

Katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri, 11 Mei menjadi manifestasi keberadaan UMNO dan menjadi tarikh ulung untuk bermuhasabah dan memperbaiki landasan perjuangan, demi agama, bangsa dan negara.

“Marilah kita berdoa semoga tahun-tahun mendatang kita akan menyambut lagi hari ulang tahun UMNO. Marilah kita berdoa agar UMNO kembali menjadi sebuah parti yang kuat untuk terus membawa harapan rakyat.

“Semoga Allah SWT sentiasa memberikan hidayah, petunjuk dan panduan kepada kami semua dalam melayari ujian dalam perjuangan politik di dunia ini. Insya-Allah dengan kesabaran, kita akan menuai kejayaan di penghujungnya dan mendapat ganjaran syurga Allah yang kekal abadi.

“Saya berharap kita semua sentiasa teguhkan tekad meneruskan legasi perjuangan parti yang kita pertahankan dulu, kini dan selamanya demi ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’. Selamat Menyambut Ulang Tahun UMNO ke-78.”

Dalam masa yang sama, beliau memaklumkan hari ini selepas Maghrib beliau akan menyampaikan ucapan Amanat Presiden sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO yang ke-78.

Amanat beliau akan disiarkan secara langsung di UMNO Online.

Sambutan Ulang Tahun UMNO yang ke-78 akan berlangsung hari ini dan akan diraikan serentak di seluruh negara.

Untuk peringkat pusat, UMNO Malaysia akan menganjurkan sambutan tersebut bersama UMNO Wilayah Persekutuan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.