UMNO Wadah Penting Perjuangan Malaysia, Doa Parti Kembali Kuat Demi Rakyat – Awang Aslee

BEAUFORT, 11 Mei – UMNO telah melalui pelbagai zaman dan kepimpinan dengan mendepani segala rintangan dan ujian di persada politik negara ini selama 78 tahun lamanya.

Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat menegaskan bahawa parti ini adalah wadah yang memainkan peranan penting dalam sejarah Malaysia sejak daripada awal penubuhannya sehingga ke hari ini.

Katanya, jasa dan perjuangan para pemimpin dan ahli UMNO terdahulu telah membawa kepada kehidupan yang lebih baik buat ahli atau rakyat secara keseluruhannya.

“Setelah hampir lapan dekad usianya, tentu sekali UMNO telah melalui pelbagai fasa dalam memastikan kelangsungannya,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya sempena ulang tahun UMNO, hari ini.

Ujar beliau, hari ini, 11 Mei menjadi manifestasi keberadaan UMNO dan menjadi tarikh ulung untuk bermuhasabah serta memperbaiki landasan perjuangan, demi agama, bangsa dan negara.

“Marilah kita berdoa semoga tahun-tahun mendatang kita akan menyambut lagi hari ulang tahun UMNO. Marilah kita berdoa agar UMNO kembali menjadi sebuah parti yang kuat untuk terus membawa harapan rakyat.

“Semoga Allah SWT sentiasa memberikan hidayah, petunjuk dan panduan kepada kami semua dalam melayari ujian dalam perjuangan politik di dunia ini.

“Insya-Allah dengan kesabaran, kita akan menuai kejayaan di penghujungnya dan mendapat ganjaran syurga Allah yang kekal abadi.”

Beliau juga berharap agar anggota parti sentiasa teguhkan tekad bagi kembali memperkukuh UMNO.

“Saya berharap kita semua sentiasa teguhkan tekad meneruskan legasi perjuangan parti yang kita pertahankan dulu, kini dan selamanya demi ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’. Selamat menyambut ulang tahun UMNO ke-78,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.