UMNO Tetap UMNO, Peranan Mendakap Aspirasi Nasional – Hasnal Rezua Merican
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican menegaskan bahawa UMNO tetap UMNO dengan peranannya adalah membawa kepada politik sederhana dan aspirasi nasional.
Ujarnya, mereka yang menuduh UMNO sudah terkeluar daripada landasan perjuangan apabila bersekutu dengan Dap dalam Kerajaan Perpaduan sebenarnya sedang cuba menyeleweng pemikiran pengundi Melayu dan UMNO.
“Pengundi Melayu dan UMNO yang termakan hasutan ini adalah mereka yang dangkal sejarah serta tipis jati diri perjuangan. UMNO pernah bersekutu dengan Gerakan dan PPP, dua buah parti yang sebelumnya berkempen menentang hak keistimewaan orang Melayu, dan SNAP serta SUPP, dua buah parti yang pernah menentang gagasan Malaysia.
“Jati diri UMNO tidak luntur dan UMNO tidak mendakap ideologi mereka. Sebaliknya peranan UMNO adalah membawa mereka ke posisi politik sederhana dan mendakap aspirasi Nasional,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya sempena ulang tahun UMNO ke78 hari ini.
UMNO akan menyambut ulang tahun pada 11 Mei yang keraiannya akan diadakan serentak di seluruh negara melalui Badan Perhubungan UMNO Negeri-Negeri. – UMNO Online