UMNO 78: Kesetiaan, Kekuatan Akar Umbi Bela Rakyat – Noraini Ahmad

KUALA KUBU BHARU, 11 Mei – Selepas 78 tahun penubuhannya, UMNO masih kekal sebagai sebuah parti yang kukuh, berjaya dan memberikan kesejahteraan pada rakyat Malaysia, kata Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Menurutnya, sokongan padu dari akar umbi memainkan peranan untuk kepentingan parti, memperkukuh perpaduan dan memberi tumpuan kepada usaha membela rakyat.

Walaupun begitu katanya, kesetiaan kepada parti juga antara faktor utama yang menentukan kekuatan parti itu.

“Saya harapkan semua akar umbi UMNO berdoa dan memohon agar parti ini terus diperkukuhkan, kesetiaan dan berikan kesejahteraan kepada seluruh rakyat terutamanya mengekalkan perjuangan.

“Insya-Allah, saya juga memohon supaya ahli-ahli UMNO berdoa agar kemenangan akan berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu ini,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Noraini yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menzahirkan penghargaan kepada pimpinan UMNO dan akar umbi yang sentiasa mendukung parti ini dan kebetulan tarikh ulang tahun UMNO ke 78 sama hari mengundi di Kuala Kubu Baharu.

“Saya mengucapkan selamat menyambut hari Ulang Tahun UMNO Ke 78 dan secara kebetulan waktu yang sama adalah hari mengundi di Kuala Kubu Baharu,” katanya lagi.

UMNO akan menyambut Ulang Tahun UMNO yang ke-78 pada 11 Mei 2024 yang akan diadakan serentak di seluruh negara melalui Badan Perhubungan UMNO Negeri-Negeri.

Ulang tahun UMNO yang disambut setiap tahun pada 11 Mei merupakan manifestasi ahli parti dalam menunjukkan semangat perjuangan parti tidak pernah luntur dalam meniti usia emas parti.

Sambutan ini juga antara lain sebagai platfrom memperkukuh perpaduan dan solidariti dalam kalangan pendukung UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.