Selamat Mengundi, Buatlah Keputusan Bijaksana Demi Perpaduan Dan Kestabilan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat mengundi kepada para pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.06 Kuala Kubu Bharu yang akan mengundi hari ini.

“Kini kuasa memilih di tangan anda, buatlah keputusan yang bijaksana demi perpaduan dan kestabilan masa hadapan rakyat khususnya di Negeri Selangor ini.

“Saya doakan semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan oleh-Nya. Insya-Allah,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Sebanyak 18 pusat pengundian dengan 74 tempat mengundi atau saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) dibuka serentak pada 8 pagi ini.

Proses pengundian hari ini melibatkan 39,269 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Pilihan raya kecil itu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas, Lee menewaskan tiga pencabarnya daripada Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan meraih majoriti 4,119 undi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.