Dinamika Politik Tuntut Pendekatan Berbeza, TARBIZ Platform Bangunkan Kemahiran Masyarakat

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Dinamika politik kini menuntut UMNO Bahagian Bukit Bintang untuk melaksanakan pendekatan berbeza dalam memberikan khidmat kepada masyarakat.

Mengorak langkah tersebut, pusat latihan Tunku Abdul Rahman Business Centre (TARBIZ) dibuka dan kewujudannya ternyata membawa manifestasi tersendiri.

TARBIZ yang bertempat di Jalan Tuanku Abdul Rahman dirasmikan hari ini oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, secara umumnya merupakan pusat latihan bagi membangunkan kemahiran mencakupi bidang politik, korporat dan perniagaan.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin, TARBIZ adalah platform untuk memberikan kemudahan latihan kepada semua lapisan masyarakat.

“Pelancaran TARBIZ adalah bersama dengan Pentabiran UMNO Bahagian Bukit Bintang. Tujuan adalah untuk menjadikan pusat ini sebagai pusat-pusat latihan dan juga kursus-kursus dapat dijalankan.

“Di bahagian atas ada studio, bilik seminar dan bilik-bilik lain… jadi dengan adanya fasiliti begini, kita dapat mengadakan aktiviti-aktiviti bersama dengan masyarakat terutamanya dalam bentuk ilmiah.

“TARBIZ ini adalah lebih banyak memberi keuntungan kepada ekonomi untuk peningkatan kemahiran dan juga untuk menambahkan pendapatan bagi masyarakat umum,” katanya.

Beliau pada itu berkata, pendekatan itu adalah bagi mendekati masyarakat bandar di samping penyertaan dalam mempertingkatkan kemahiran-kemahiran tertentu.

“Kerana UMNO dalam bandar ini aktiviti agak berbeza sikit dengan mungkin di tempat-tempat lain. Sebab aktiviti kita banyak kepada untuk menambah, pembaikan, peningkatan kemahiran, program dan juga program-program TVET dan untuk masyarakat.

“Jadi UMNO dalam keadaan sekarang terutamanya bagi orang-orang Melayu, salah satu daripada agenda kita adalah untuk meningkatkan ekonomi dan juga dalam kursus-kursus yang lain seperti pendidikan dan sebagainya,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.