78 Tahun UMNO Menjadi Aktor Utama Dan Penting Di Pentas Politik Negara

KUALA  LUMPUR, 11 Mei – Tanggal 11 Mei 2024, genaplah 78 tahun usia UMNO menjadi aktor utama dan terpenting di pentas politik serta perjuangan kebangsaan di negara ini, demikian menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Jelas beliau bagai sebuah pelayaran yang jauh, UMNO telah berjaya menempuh setiap inci badai dan cabaran yang memungkinkan parti ini berada di sebuah kedudukan tertinggi dalam arena politik tanah air.

“UMNO bukan hidup mekar kerana sejarah lalunya yang megah. UMNO bukan hidup mekar kerana pertolongan rakan sebelah. Tetapi UMNO kekal hidup mekar kerana dukungan serta sokongan ahli-ahli akar umbinya sendiri, berpaksikan kepada tujuan perjuangan yang tulus suci.

“Atas prinsip itulah, UMNO mampu berfungsi dengan penuh tertib, beradab dan memberi impak. Letaklah UMNO di mana-mana pun, ia tetap meninggalkan kesan yang tak termampu dijangka oleh pihak lawan, mahukan kawan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Kata beliau lagi, jika UMNO berada pada posisi pembangkang, ia akan menjadi pembangkang yang mendorong kerajaan untuk membuat perkara yang betul kepada nasib rakyat.

Apatah lagi tambah beliau  jika UMNO berada di dalam kerajaan, fungsinya berubah menjadi tonggak utama kepada pemeliharaan kesucian agama, kedaulatan bangsa dan keharmonian negara.

“Inilah yang membawa UMNO berada pada tahapnya yang tersendiri dan menjadi sebuah perjuangan yang punya nilai tertinggi.

“Justeru, pada usia UMNO yang ke 78 ini, saya menyeru dan mengajak semua ahli-ahli parti untuk terus menguatkan sifat wala’ kepada kepimpinan dan perjuangan parti, serta mengekalkan kesabaran dalam menatijahkan perjuangan parti ke suatu tahap lebih cemerlang di masa depan.

“Semoga UMNO terus relevan dan kekal berjasa kepada Islam, Bumiputera dan Malaysia.,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.