11 Mei Tarikh Bermakna, Perjuangan UMNO Tersemat Dari Dulu Hingga Ke Hari Ini

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin melihat ulang tahun UMNO yang disambut saban tahun pada 11 Mei bukan sahaja memberi seribu makna kepada ahli-ahli parti malah kepada pendukung serta penyokong parti terbabit.

Bagi beliau perjuangan parti berkenaan kepada orang-orang Melayu di negara ini khususnya serta seluruh rakyat tidak ada titik noktahnya dan agenda membela kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.

“Percayalah… dalam keadaan apa jua sekali pun pembelaan terhadap rakyat tetap menjadi keutamaan dan itulah istimewanya perjuangan UMNO yang sehingga ke hari ini masih menjadi sebutan walaupun pada satu ketika tidak berjaya membentuk kerajaan di peringkat pusat dan beberapa negeri.

“Hari ini ketika UMNO menjadi sebahagian daripada kerajaan, perjuangan yang dirintis selama ini diurus dan diteruskan sebaiknya dan usaha untuk memastikan UMNO terus gah melangkah ke depan terus giat diperkasakan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

UMNO akan menyambut ulang tahun ke-78 Sabtu ini dan 11 Mei saban tahun tetap diingati sebagai hari lahirnya sebuah perjuangan orang-orang Melayu yang dirintis pimpinan terdahulu.

Sharkar seterusnya menambah perjuangan parti untuk pembelaan rakyat seluruhnya tidak pernah terhenti dan insya-Allah akan diteruskan dalam apa jua keadaan dalam usaha memastikan agenda pembangunan dan pembelaan rakyat di negara ini terlaksana sebaiknya.

Dalam pada itu beliau turut melihat cabaran demi cabaran yang dihadapi oleh UMNO hari ini adalah dugaan yang perlu diuruskan sebaiknya dan perlu dipikul bersama-sama dalam usaha memastikan UMNO terus gah seiring dengan perjuangan dulu, kini dan selamanya.

“Kelahiran UMNO bukanlah secara tiba-tiba sebaliknya sebelum merdeka dengan pengisian perjuangan yang tersendiri sehinggalah ke hari ini yang dapat dilihat dan dirasai oleh masyarakat pelbagai peringkat.

“Sebagai parti politik yang lahir untuk memperjuangkan agenda bangsa Melayu yang merupakan penduduk majoriti di negara ini, UMNO masih relevan dan insya-Allah kita sama-sama usahakan untuk memperkasakan lagi parti.

“Selamat menyambut ulang tahun UMNO ke-78 kepada seluruh ahli dan pimpinan parti pelbagai peringkat. Kita gerak bersama, bulatkan tekad demi perjuangan ummah,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.