UMNO Lahir Tokoh Negara Berkredibiliti, Sampai Sekarang Jasa Parti Tak Ternilai – Rosni Zahari

KUALA LUMPUR, 10 Mei – UMNO sebagai parti keramat telah melahirkan tokoh-tokoh pemimpin yang berkredibiliti dalam memimpin negara, kata Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari.

Menurut beliau, ini terbukti apabila keseluruhan Perdana Menteri Malaysia lahir daripada UMNO.

“Itu sebabnya saya kata tadi UMNO ni adalah parti keramat. Siapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri Malaysia daripada dulu sampai sekarang adalah lahir daripada UMNO.

“Cuba tengok sekarang, kita dah ada Perdana Menteri yang ke-10. Daripada satu sampai ke-10 tu ada tak daripada parti lain? Semuanya berasal daripada parti UMNO,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran turut sama meluahkan kesyukuran dengan ulang tahun UMNO ke-78 ini yang wajar diraikan kerana parti ini banyak jasanya kepada pembentukan tanah air tercinta.

Menurut beliau lagi meskipun sepanjang tempoh panjang tersebut pelbagai cabaran politik dilalui namun pejuang dan pendukung parti terus tekad dalam memperkasa UMNO sehingga ke hari ini.

“UMNO adalah merupakan parti keramat ditubuhkan pada 11 Mei 1946 dengan melalui pelbagai-pelbagai dugaan, terutamanya selepas Malayan Union nak ditubuhkan maka UMNO diwujudkan untuk menghalang ia ada,” ujar beliau.

Tambah Rosni lagi cabaran besar yang dilalui UMNO termasuk usaha pengharaman UMNO pada 1988.

“Sepanjang tempoh tersebut hingga ke hari ini, UMNO telah melalui pelbagai dugaan, pelbagai rintangan tetapi kita dapat melaluinya. Pernah pada 1988 UMNO diharamkan. Kenapa UMNO diharamkan? Apabila wujudnya perbutan kuasa, apa permasalahan yang berlaku di dalam UMNO adalah perbutan kuasa.

“… tapi alhamdulillah, sebab yang berlaku perbutan kuasa itu untuk pemimpin-pemimpin di atas yang di bawah ini kita tak ada masalah.

“Mereka pemimpin atas boleh datang dan pergi tapi kami di bawah sentiasa berpegang kepada UMNO untuk bergantung harap dan saya yakin, saya percaya selepas melalui 78 tahun sehingga ke hari ini UMNO akan kembali kuat, UMNO akan kembali cemerlang sebagaimana dahulu.

“Jadi harapan saya menyerulah kepada orang Melayu di Malaysia ni yakinlah dengan perjuangan UMNO kerana tidak ada parti lain lagi yang boleh menjaga Melayu Islam di Malaysia ni selain daripada parti UMNO,” katanya.

Untuk rekod, UMNO pernah diisyhtiharkan sebagai sebuah pertubuhan haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari, 1988 yang berpunca daripada tindakan sekumpulan ahli mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan pemilihan parti yang telah berlangsung pada 24 April 1987.

Bagaimanapun, dua minggu selepas itu Presiden UMNO telah mengumumkan pendaftaran UMNO Baharu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.