UMNO Galas Perjuangan Bangsa, Aspirasi Dukung Kegemilangan Negara

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin berkata parti UMNO dihormati, dipercayai dan disegani bermula dari kesusahan dan perjuangan panjang yang diusahakan oleh mereka yang terdahulu menggalas perjuangan.

Menurut beliau pimpinan sebelum ini membidani negara bangsa, melahirkan pemimpin selain membela rakyat dan 11 Mei 1946 adalah detik kegemilangan yang wajar menjadi aspirasi kepada pendukung parti pada hari ini.

“Susahnya untuk kebanyakan, pengorbanannya untuk yang kebanyakan dan senang itu juga untuk yang kebanyakan. Itulah generasi Mei 1946 asas kepada UMNO yang wujud dan kini terus berada di persada politik tanah air,” katanya kepada UMNO Online, di sini hari ini.

Kata beliau lagi tanggungjawab kini digalas oleh pimpinan seterusnya serta pelapis untuk meneruskan perjuangan dan jangan sesekali mengalah.

“Tugas generasi baru parti kini berat, giliran kita pula untuk membina parti demi kebanyakan, demi masa hadapan. Jangan kita sesekali mengalah, kuatkan semangat ambil iltizam dari perjuangan tokoh-tokoh terdahulu. Teruslah berjuang generasiku. Selamat menyambut ulangtahun hari UMNO ke-78,” ujarnya.

UMNO akan menyambut ulang tahun ke-78 pada Sabtu, dan 11 Mei saban tahun tetap diingati sebagai hari lahirnya sebuah perjuangan orang-orang Melayu yang dirintis pimpinan terdahulu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.