Ulang Tahun Ke-78: Perjuangan UMNO Dulu, Kini Dan Akan Datang – Ruzaini

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais menegaskan bahawa perjuangan parti keramat UMNO tetap sama dari dulu, kini dan selamanya terutamanya dalam membela hak keistimewaan orang Melayu serta bumiputera.

Sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-78, beliau berkata, selama 61 tahun UMNO/Barisan Nasional (BN) mentadbir negara secara dominan, pelbagai kemajuan telah dikecapi terutamanya dari segi pembangunan.

“UMNO adalah sebuah parti politik lama dan paling berpengaruh di Malaysia serta mempunyai sejarah yang kaya ddenganjaringan yang kuat di seluruh negara sejak negara mengecapi kemerdekaan pada tahun 1957.

“Tidak boleh dipertikaikan lagi apabila selama 61 tahun UMNO mentadbir negara, kesejahteraan dan kemajuan dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia setelah negara kita dijajah selama berdekad lamanya.

“Sumbangan UMNO di Malaysia selama puluhan tahun cukup beragam terutamanya dari segi politik, sosial, ekonomi, dan budaya. Kemerdekaan Malaysia adalah puncak pencapaian UMNO sebagai parti dominan paling aktif dalam memperjuangkan kemerdekaan negara ini… dari kepimpinan Tunku Abdul Rahman, beliau sangat berjasa dalam mengakhiri penjajahan British,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, sepanjang mengetuai pentadbiran negara, UMNO tidak pernah sesekali mengenepikan hak dan kepentingan orang Melayu termasuklah bumiputera.

“Pelbagai perubahan dilakukan baik dari segi infrastruktur seperti pembangunan jalan raya, pelabuhan, lapangan terbang, pengangkutan awam dan projek-projek lain yang telah meningkatkan jaringan sekaligus merancakkan pertumbuhan ekonomi. Ini dilaksanakan melalui program-program seperti Rancangan Malaysia dan inisiatif untuk memperkuat sektor-sektor utama seperti pertanian, industri, serta pendidikan.

“Sebagai parti yang mewakili kepentingan etnik Melayu, UMNO selalu menjaga di samping melindungi hak, kepentingan dan kedudukan etnik Melayu serta bumiputera. UMNO juga aktif dalam memajukan akses dan kualiti pendidikan serta kesejahteraan sosial di Malaysia.

“Ia dilaksanakan melalui program-program bantuan tajaan biasiswa, inisiatif untuk memperkuat sistem pendidikan dan sistem kesihatan. Syiar Islam yang dibawa oleh UMNO untuk rakyat Malaysia di negara ini dapat dilihat perbezaan yang nyata dari segi kemajuan infrastruktur, kefahaman dan amalan sejak merdeka sehingga kini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa kemakmuran rakyat Malaysia berbilang kaum di negara ini merupakan hasil buah pemikiran pemimpin UMNO yang hebat dan ikhlas berjuang.

“Syiar Islam berkembang dengan pesat diseluruh negara dan Islam terbela seperti termaktub dalam Perlembagaan Negara. Rakyat Malaysia juga mengetahui keamanan, kemakmuran penduduk berbilang kaum ini sebenarnya merupakan hasil cetusan pemikiran para pemimpin UMNO yang hebat dan ikhlas berjuang untuk agama, bangsa serta negara.

“Dinamika politik di Malaysia sendiri terus berubah, terutamanya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu memperlihatkan penggantian kuasa pentadbiran negara buat pertama kali sejak merdeka. Era dominan UMNO berakhir pada tahun 2018 tetapi pada tahun 2021, UMNO kembali memimpin sebagai Perdana Menteri.

“Pada tahun 2022, selepas PRU ke-15 UMNO hanya mempunyai 26 kerusi Parlimen tetapi Presiden UMNO telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menterimanakala beberapa lagi pemimpin lain pula dipilih sebagai menteri dan timbalan menteri. UMNO memimpin bersama Pakatan Harapan (PH) dengan mewujudkan Kerajaan Perpaduan. Mungkin ini berlaku kerana jasa-jasa UMNO kepada rakyat dalam memelihara agama, bangsa dan negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau yakin bahawa rakyat akan terus menilai prestasi parti-parti politik yang pernah mentadbir negara

“Allah masih memberi peluang kepada UMNO untuk mentadbir negara bersama-sama PH walaupun bertubi-tubi di serang oleh pihak lawan. Pelbagai langkah telah dibuat oleh oleh kepimpinan UMNO untuk menarik sokongan rakyat terutamanya pengundi-pengundi muda.

“Rakyat sedang menilai parti-parti politik yang hanya pandai bercakap dan retorik, kononnya mereka adalah yang terbaik untuk membela agama dan negara. Walhal, sebenarnya masih belum terbukti walaupun pernah diberi peluang mentadbir. Rakyat juga akan terus menilai mereka yang sering mencari kesalahan dan keburukan para pemerintah walaupun keputusan yang diputuskan oleh kerajaan adalah yang terbaik negara.

“Percayalah UMNO akan terus relevan dan kekal dalam mentadbir negara serta negeri-negeri selepas PRU ke-16 dengan prestasi terbaik. Selamat menyambut ulang tahun kelahiran UMNO ke-78 Tahun,” katanya lagi.

Untuk rekod, parti keramat UMNO akan menyambut ulang tahunnya yang ke-78 pada 11 Mei iaitu Sabtu ini.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Mei lalu memaklumkan bahawa sambutan Ulang Tahun UMNO ke-78 akan diadakan serentak di seluruh negara melalui Badan Perhubungan UMNO Negeri-negeri.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan di peringkat Pusat, UMNO Malaysia bersama UMNO Wilayah Persekutuan akan menganjurkan secara bersama di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.