Program Gelombang Padi Langkawi Menyemai Perpaduan Menuai Kemajuan – Hisham Suhaily
KUALA LUMPUR, 10 Mei – Ketua Wanita UMNO Bahagian Langkawi, Hisham Suhaily Othman menyokong hasrat kerajaan yang merealisasikan Program Gelombang Padi Projek Padi Pulut Langkawi Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB).
Beliau berkata impian masyarakat Langkawi kini telah menjadi kenyataan dalam meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara, khususnya Beras Pulut Lagenda Langkawi.
“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas usaha pembinaan kilang padi yang pertama di Langkawi dengan anggaran kos RM8.9 juta.
“Ia ibarat terbitnya fajar baru bagi industri padi di pulau ini. Kilang ini mampu memproses pelbagai jenis padi yang ditanam di Langkawi, sekaligus membantu pesawah mengurangkan kos, masa pemprosesan hasil pertanian.
“Kilang yang akan dibina ini juga bakal menjadi salah sebuah tempat tumpuan pelancongan. Seperti arus sungai yang mengalir tenang membawa kebaikan kepada penduduk Langkawi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Bagaimanapun Hisham berkata nasib pesawah perlu terus dibela kerana banyak halangan terpaksa dihadapi mereka sebagai penanam padi, yang tidak seharusnya dipandang enteng.
Menurut beliau ini kerana di saat pelaksanaan projek-projek berskala besar, kebajikan rakyat Langkawi khususnya para pesawah dan petani perlu merasakan manfaatnya seperti panen.
“Sistem saliran air yang mencukupi juga penting dan masalah ini perlu juga diambil perhatian serius bagi memastikan mewah hasilnya.
“Dan yang paling penting sekali ialah usaha yang bersungguh-sungguh oleh pesawah. Pertanian adalah satu perniagaan mulia. Dengan semangat kerajinan, daya usaha dan sifat mahu belajar, insya-Allah pastikan berjaya,” ujar beliau. – UMNO Online