PRK KKB: Calon Kaliber, Impak Besar Untuk Pengundi Pilih Calon Kerajaan Perpaduan – Asmadi

KUALA KUBU BHARU 10 Mei – Ketua UMNO Bahagian Padang Serai, Datuk Asmadi Abu Talib yakin penduduk di Kuala Kubu Baharu akan membuat pilihan tepat mengundi calon Kerajaan Perpaduan daripada Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao dalam untuk menentukan wakil rakyat baharu mereka, esok.

Ini kerana katanya calon yang diketengahkan adalah berkaliber dan punyai impak besar untuk kerajaan negeri.

“Kita yakin dan percaya bahawa kemenangan Kerajaan Perpaduan di Kuala Kubu Baharu akan memberi impak yang besar. Sudah semestinya kemenangan sesuatu yang diharapkan oleh mana-mana parti tetapi di kawasan ini kerjasama dan komitmen adalah untuk diberikan oleh parti UMNO/Barisan Nasional (BN)

“Sudah semestinya UMNO/BN telah berkerja dengan cukup kuat, hebat dan bersedia membantu PH walaupun dari parti yang berbeza. Percayalah bahawa Kerajaan Perpaduan hatta daripada Dap, Keadilan, UMNO, Amanah dan lain-lain semuanya adalah untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Kerja kuat dari jentera UMNO/BN dan PH serta pengundi-pengundi Kuala Kubu Baharu akan membuat keputusan yang terbaik yang akan memberikan kemenangan kepada calon Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Seterusnya Asmadi berharap pengundi Kuala Kubu Baharu lebih berhati-hati dan sentiasa menyemak fakta apabila mendengar kempen politik yang dilakukan pihak lawan.

“Insya-Allah, pada 11 Mei ini calon Kerajaan Perpaduan akan menang di Kuala Kubu Baharu dan pengundi di sini tidak akan terpengaruh pandangan beberapa pihak yang berkempen secara fitnah.

“Oleh itu pengundi perlu bijak, berhati-hati dan meneliti kepada maklumat yang diterima kerana ada pelbagai maklumat kempen yang kebanyakannya berunsurkan fitnah cuba dimainkan oleh pihak lawan,” jelas beliau.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding akan berakhir sehingga 11.59 malam ini.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.