PRK KKB: Bulatkan Tekad, Pilih Calon Kerajaan Perpaduan – Imran Tamrin

KUALA KUBU BHARU, 10 Mei – Tempoh 14 hari berkempen yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pastinya dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua calon yang bertanding bagi merebut kerusi tersebut.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Imran Tamrin merayu kepada semua pengundi bulatkan tekad dan memilih calon Kerajaan Perpaduan yang benar-benar dapat membawa kesejahteraan dan pembangunan komuniti setempat.

“Kepada pengundi-pengundi… saya merayu dan memohon agar semua pengundi-pengundi di DUN Kuala Kubu Baharu dapat membulatkan tekad dan semangat untuk terus mengekalkan kemenangan Kerajaan Perpaduan dengan mengundi calon daripada Pakatan Harapan (PH).

“Saya berharap kepada semua jentera UMNO/Barisan Nasional (BN) terus memperkukuhkan dan memperkemaskan lagi gerak kerja dalam menyantuni dan menyampaikan pesanan-pesanan yang memberikan keyakinan kepada rakyat dan juga pengundi,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Pada masa yang sama Imran mengingatkan kepada semua pengundi agar menyemak aplikasi ‘My SPR’ dan membawa kad pengenalan sebelum pergi membuang undi.

“Jangan lupa dan pastikan kad pengenalan berada dalam pegangan dan simpanan kita. Pastikan telah semak dalam aplikasi ‘My SPR’ supaya tahu di mana lokasi dan tempat membuang undi agar ia dapat melancarkan serta memudahkan lagi proses pembuangan undi 11 Mei nanti supaya tidak ada apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku,” jelasnya.

PRK itu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao dari PH, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

DUN KKB memiliki 40,226 pengundi berdaftar terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.