PRK KKB: Beri Undi Pada Calon Aspirasi Kerajaan Perpaduan – Dr Asyraf

KUALA KUBU BHARU, 10 Mei – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meminta ahli dan penyokong parti itu mengetepikan perbezaan dan memberi sokongan serta undi kepada calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Menurutnya, tindakan menyokong calon aspirasi Kerajaan Perpaduan adalah wajar sebagaimana pernah menyokong calon MCA.

“Saya meminta kepada seluruh orang-orang Melayu dan penyokong-penyokong UMNO di Kuala Kubu Bharu, sebagaimana dahulu pernah sokong calon dari MCA, hari ini kita sokong calon dari aspirasi Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao.

“Paling penting selepas hari Sabtu ini kita akan nobatkan ‘Yang Berhormat’ Pang Sock Tao dan akan menjaga semua dan bukan saja orang UMNO, Melayu, Cina, orang Pakatan Harapan (PH) tetapi jaga rakyat berbilang kaum. Inilah ‘Yang Berhormat’ kita angkat menjadi jambatan kepada negeri dan kerajaan Persekutuan.

“Insya-Allah, saya percaya kesejahteraan, kebajikan rakyat akan terpelihara. Justeru sama-sama menyokong dan mengundi calon Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah Mega Perpaduan Grand Finale, di Stadium Mini Kuala Kubu Bharu, malam tadi.

Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Ketua Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Imran Tamrin serta kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

Untuk rekod, calon Kerajaan Perpaduan dari Dap, Pang Sock Tao akan bersaing dengan calon Perikatan Nasional (PN) dari Bersatu, Khairul Azhari Saut, Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin dan Nyau Ke Xin calon Bebas.

SPR menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga 11.59 malam ini.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Bharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.