PRK KKB: Bawa Kad Pengenalan Sebelum Mengundi, Beri Undi Pada Sock Tao – Abdul Mutalif

KUALA KUBU BHARU, 10 Mei – Tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Negeri berbaki beberapa jam sahaja lagi, sebelum kuasa rakyat menentukan siapakah wajar diberikan mandat sebagai wakil rakyat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim mengingatkan kepada semua pengundi Kuala Kubu Bharu membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian bagi memudahkan semakan nama serta membantu kelancaran proses pengundian yang bakal berlangsung esok.

“Tolong, pada hari Sabtu ini jangan lupa sebelum keluar rumah, bawa kad pengenalan dan terus pergi ke tempat Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing untuk mengundi calon nombor dua Pang Sock Tao mewakili calon Kerajaan Perpaduan dan berikan sokongan kepada beliau.

“Saya yakin pengundi Kuala Kubu Bharu akan menjalankan tanggungjawab mereka pada waktu siang dan malam itu juga, kita akan nobatkan Pang Sock Tao menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) 06 Kuala Kubu Bharu, insya-Allah,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Mengulas lanjut Mutalif yakin pengundi-pengundi DUN Kuala Kubu Bharu bijak dan matang untuk memilih wakil rakyat mereka.

“Cukup, cukuplah… sudah, sudahlah, rakyat di Kuala Kubu Bharu dah matang dan bijak kerana sekiranya memilih pihak di sebelah sana apa kita dapat? Kalau pilih nanti dan apabila dah menang, dia akan cakap apa… saya bukan kerajaan, saya bukan ada peruntukan.

“Saya berjumpa pelbagai masyarakat disetiap pelusuk Kuala Kubu Bharu dan mereka bijak dan matang dalam memilih wakil rakyat mereka,” ujarnya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 27 April lalu sehingga jam 11.59 malam ini.

DUN Kuala Kubu Baharu memiliki 40,226 pengundi berdaftar terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.