Pilih Calon Perpaduan, Rakyat Damba Keamanan Dan Kestabilan Negara – Dr Zambry

KUALA KUBU BHARU, 10 Mei – Kestabilan dan keamanan sangatlah penting dalam membina sebuah negara yang bebas daripada konflik dan permasalahan serta membina negara gemilang, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Menurut beliau, kestabilan dan keamanan hanya boleh dikecapi sekiranya lapisan masyarakat menjaga perpaduan dan kedaulatan negara.

“Kesemua kita tak kira Melayu, Cina, India, Orang Asli dan sebagainya mahukan satu perkara yang sangat penting dalam kehidupan iaitu kestabilan dan keamanan.

“Paling mustahak dan matlamat utama politik adalah untuk meletakkan negara sentiasa berada dalam keadaan yang stabil, aman dan rakyat keseluruhannya dapat hidup dengan sempurna dan itulah matlamat kita untuk menjaga dan membangunkan tempat kita.

“Apa lagi yang kita nak? Kita berpolitik dan buat apa cara sekali pun masing-masing mahu meletakkan kedudukan mereka di kedudukan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah Mega Perpaduan Grand Finale, di Stadium Mini Kuala Kubu Bharu, malam tadi.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Imran Tamrin serta kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi menasihati pada pengundi agar mengundi calon Kerajaan Perpaduan sebagai jambatan untuk membangunkan kawasan ini.

“Insya-Allah, kita akan gabungkan dan bangunkan kawasan ini bersama-sama dan akan diwakili oleh calon Kerajaan Perpaduan

“Empat tahun penduduk akan menghadapinya selepas pilihan raya tapi kita ingin mengembangkan kawasan ini. Kita ada pemimpin yang hebat di peringkat negeri dan nasional,” jelas beliau.

Untuk rekod PRK DUN KKB diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari dengan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei ini manakala pengundian awal pada 7 Mei. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.