Pengundi KKB Diseru Pilih Calon Boleh Berkhidmat, Kekalkan Kerajaan Perpaduan – Aminuddin

KUALA KUBU BHARU, 10 Mei – Tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) yang bermula pada 27 April lepas, akan tamat pada, 11.59 malam ini.

Selepas tempoh berkenaan, setiap calon daripada parti bertanding dilarang berkempen untuk merayu undi bagi kawasan berkenaan terutama menjelangnya hari pengundian pada keesokannya.

Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Aminuddin Omar berharap para pengundi yang bakal melaksanakan tanggungjawab bagi PRK Kuala Kubu Baharu ini agar tidak tersalah pilih.

“Pengundi jangan silap pilih kerana inilah satu-satunya jambatan yang ada kepada pengundi untuk mereka memilih wakil rakyat yang sebenar yang boleh berkhidmat kerana di negeri dan pusat juga Kerajaan Perpaduan.

“Maknanya… segala permohonan-permohonan nanti daripada masyarakat dan pengundi mudah disalurkan pada kerajaan yang ada hari ini.

“Saya doakan agar seluruh jentera UMNO dapat bergerak dengan lebih aktif, proaktif dan punyai keyakinan cukup tinggi bahawa calon ini akan mencapai kemenangan pada hari Sabtu ini, insya-Allah,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Pada masa yang sama, Aminuddin teruja dengan jentera UMNO/Barisan Nasional (BN) yang tidak mengenal erti penat lelah berjuang demi kemenangan calon Kerajaan Perpaduan.

“Jentera UMNO/BN bergerak begitu aktif sekali dari pagi hingga tengah malam untuk memastikan kemenangan dari calon Kerajaan Perpaduan. Mudah-mudahan dapat beroleh kejayaan yang bergaya dalam PRK Kuala Kubu Bharu.

“Ramai kepimpinan dari UMNO yang turun ke lapangan, ziarah rumah ke rumah, satu tempat ke satu tempat, ceramah dan sebagainya. Kita bersungguh untuk pastikan kemenangan kepada calon Kerajaan Perpaduan ini,” ujarnya.

PRK Kuala Kubu Baharu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Lee menewaskan tiga pencabarnya daripada PN, PRM dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dengan majoriti 4,119 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.