Pengundi Jangan Terpedaya Propaganda Pembangkang – Azalina

KUALA KUBU BHARU, 10 Mei – Rakyat dinasihatkan supaya tidak tertipu dengan propaganda dimainkan Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa kononnya keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) boleh membawa perubahan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata perubahan tampuk kepimpinan di peringkat persekutuan tidak mungkin berlaku menerusi PRK DUN Kuala Kubu Bharu kerana pilihan raya ini hanya mencari pengganti bagi ADUN yang telah meninggal dunia.

“Kalau dia undi siapa pun hari ini, dia tak boleh tukar kerajaan. Kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat tak boleh tukar… undi protes boleh tukar kepada Perdana Menteri…. undi orang ini, undi protes boleh tukar menteri besar… itu membohonglah itu.

“Yang penting ialah memilih seseorang yang memberikan kita perkhidmatan untuk kawasan. Keutamaanlah diri kita ialah untuk mencari pengganti. Pengganti kepada seorang wakil rakyat yang dipanggil ADUN untuk memberi khidmat kepada kawasan.

“Jadi isu dia tak begitu susah nak faham. Tapi kalau dia tak memilih dan dia tak memahami, maka merekalah hidup dengan siapa yang mereka pilih,” katanya.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang menjelaskan calon yang diketengahkan oleh Kerajaan Madani adalah calon yang banyak pengalaman dan komitmen.

“Calon yang ditawarkan daripada Kerajaan Madani ialah calon yang memberi komitmen, yang banyak pengalaman, yang pernah bekerja dengan banyak menteri-menteri kabinet, mantan-mantan menteri, wakil-wakil rakyat Parlimen dan juga ADUN, berbanding dengan calon-calon yang tak ada pengalaman,” katanya lagi.

Untuk rekod PRK DUN KKB diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari dengan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei ini manakala pengundian awal pada 7 Mei. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.