Kerajaan Kedah Dan MIDA Perlu Jelaskan Penarikan Pelaburan Syarikat Austria-Jerman – UMNO Kedah

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Kerajaan Negeri Kedah dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) perlu tampil dan memberi penjelasan berkenaan penarikan pelaburan syarikat Austria-Jerman, AMS-Osram selepas pembinaan kilang LED mikronya di Kulim Hi-Tech.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata kerajaan negeri dan MIDA tidak boleh berdiam diri sahaja memandangkan penarikan pelaburan itu akan menjejaskan 500 pekerja yang kebanyakkan berpangkalan di Pulau Pinang.

Menurut beliau kerjasama pelaburan AMS-Osram dan Malaysia bukan perkara baharu, malah AMS-Osram sudah mula menapak di Malaysia sudah lebih 50 tahun.

“Kehilangan pelaburan ini bukan sahaja memberi impak kepada ekonomi tetapi kepada pengembangan IR 4.0.

“Sebagai sebuah syarikat yang sudah lama beroperasi, AMS-Osram sudah pasti mempunyai pengalaman dan teknologi yang luas untuk dikongsi untuk rakyat tempatan. Perkongsian teknologi ini penting demi mencapai IR 4.0,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Kata beliau lagi Malaysia merupakan sebuah negara yang sudah terkenal dengan menjadi hub semikonduktor dunia.

“Dalam laporan yang diterbitkan oleh Financial Times, Malaysia berada pada tempat pertama dalam senarai pengeksport cip semikonduktor ke Amerika Syarikat.

“Penarikan ini sudah tentu sedikit sebanyak akan memberi impak negatif kepada pelaburan industri semikonduktor di Malaysia.

“Oleh sebab itu, lagi sekali saya berharap kerajaan negeri dan MIDA boleh memberi kenyataan dan penjelasan mengenai perkara ini. Lebih baik kita jernihkan segala syak wasangka rakyat sebelum perkara ini menjadi lebih keruh,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.