Ahmad Zahid Rakam Takziah, Yang Dipertua Dewan Negara Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Kepimpinan UMNO termasuk Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal, yang telah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam hal ini, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) melahirkan rasa sedih atas pemergian tokoh yang berjiwa besar ini dan menganggapnya sebagai satu kehilangan besar.

“Kita telah mendapat satu khabar sedih mengenai pemergian seorang tokoh negara yang berjiwa besar, YB Senator Datuk Mutang Tagal, Yang Di-Pertua Dewan Negara yang telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

“Saya mengenali mendiang sebagai seorang tokoh yang amat disegani dan disayangi. Mendiang merupakan Speaker Dewan Negara yang ke-20 dan telah dilantik pada Februari 2024 yang lalu. Sesungguhnya pemergian mendiang adalah satu kehilangan yang besar buat negara,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Ujar Ahmad Zahid, segala khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada masyarakat dan negara akan sentiasa dikenang selamanya.

“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh keluarga mendiang dan semoga seluruh ahli keluarga mendiang diberikan kekuatan dan tabah dalam menghadapi ujian ini,” katanya lagi.

Mendiang disah menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.46 pagi tadi selepas menerima rawatan sejak 6 Mei lalu.

Mutang, 70, mengangkat sumpah jawatan pada 19 Februari lalu sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-20.

Beliau adalah Orang Ulu yang pertama dilantik memegang jawatan itu, selain pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas di Sarawak dari 1982 hingga 1990 dan memiliki latar belakang pendidikan serta praktis dalam bidang perundangan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.