UMNO Terus Jadi Paksi Pemelihara Agama, Bangsa Dan Tanah Air – Reezal

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata walaupun parti berkenaan diuji dengan pelbagai dugaan namun UMNO masih tetap menjadi paksi pemelihara agama, bangsa serta tanah air.

Dalam satu kenyataan kepada UMNO Online sempena Ulang Tahun UMNO Ke-78 Sabtu ini, beliau seterusnya bertekad untuk bersama-sama seluruh saf kepimpinan dan ahli parti untuk memperkasakan lagi perjuangan berkenaan.

“Inilah parti kesayangan dan kebanggaan kita. Parti yang telah berjasa kepada kita. Parti yang kita cukup terhutang budi kepadanya.

“Saya bersyukur kerana dapat bersama sahabat-sahabat dalam wadah perjuangan UMNO ini. Meskipun diuji dengan ranjau dan duri, parti bertuah ini terus kekal berdiri, menjadi paksi pemelihara agama, bangsa dan pertiwi,” katanya.

Beliau seterusnya berharap UMNO terus kukuh dan utuh berdepan segala dugaan dan cabaran mendatang.

“Insya-Allah, saya akan terus berjuang dan bersama parti ini sampai bila-bila. Ini iltizam saya dan seluruh ahli UMNO Kepala Batas, meneruskan legasi Ayahanda Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) yang kami sayangi.

“Saya doakan semoga parti UMNO kita ini terus utuh lagi kukuh, segar dengan barisan dan pewaris kepimpinan serta terus relevan untuk rakyat Malaysia keseluruhannya. Salam Ulang Tahun UMNO ke-78,” tambahnya.

UMNO akan menyambut ulang tahun ke-78 Sabtu ini dan 11 Mei saban tahun tetap diingati sebagai hari lahirnya sebuah perjuangan orang-orang Melayu yang dirintis pimpinan terdahulu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.