Projek Pembangunan Bandar Pertahanan Bakal Sedia Peluang Pekerjaan – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Projek pembangunan Lipis sebagai bandar pertahanan bakal menyediakan peluang pekerjaan penduduk sekitar, kata Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Kawasan Perindustrian Padang Tengku Fasa II telah dikenalpasti sebagai kawasan yang sesuai untuk dimajukan bagi projek-projek berasaskan industri pertahanan dan pembangunan kilang.

“Saya menghadiri Mesyuarat Pertama Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 untuk hari ketiga yang berlangsung pada hari ini. Dalam sesi jawapan lisan, saya menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Dewan Negeri Padang Tengku, Datuk Mustapa Long, berkaitan tahap kemajuan perlaksanaan Lipis sebagai Bandar Pertahanan di samping implikasi dan kesan positif kepada Daerah Lipis.

“Secara umumnya, Kawasan Perindustrian Padang Tengku Fasa II telah dikenalpasti sebagai kawasan yang sesuai untuk dimajukan bagi projek-projek berasaskan industri pertahanan dan pembangunan kilang di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dengan keluasan 100 ekar ini telah mencapai 82 peratus pada 15 Mac 2024 dan dijangka siap sepenuhnya pada suku akhir 2024,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, projek pembangunan ini juga bakal memacu penambahbaikan infrastruktur, membuka ruang perniagaan diikuti limpahan ekonomi melaluli perkhidmatan, perumahan dan utiliti.

“Pembangunan kawasan perindustrian ini secara langsungnya akan membuka peluang-peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

“Malah, projek pembangunan ini akan menjadi pemacu kepada penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan untuk penduduk sekitar, potensi pembukaan ruang perniagaan tempatan, peningkatan perbelanjaan pelancongan dan rekreasi Daerah Lipis serta limpahan ekonomi melalui perkhidmatan, perumahan dan utiliti,” katanya lagi.

Pada Khamis media melaporkan, Kilang kenderaan perisai bakal dibina di kawasan perindustrian Padang Tengku Fasa II, Lipis, sekaligus menjadikan daerah itu sebagai bandar pertahanan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata setakat ini, tapak projek kilang berkenaan diluluskan kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang (PSK) manakala agensi pelaksana projek adalah Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.