Program Pembangunan Peneroka (PPP) Di Negeri Sembilan Jana Pendapatan Tambahan

SEREMBAN, 9 Mei – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata Program Pembangunan Peneroka (PPP) di bawah FELDA bertujuan untuk memberikan pendapatan tambahan kepada peneroka dan menjamin keselamatan makanan negara yang melibatkan sebanyak 112,638 orang peneroka di 317 rancangan seluruh Malaysia.

Menurut beliau untuk rekod, terdapat 587 Projek Plasma (Individu) dan 4 Projek Badan/Koperasi yang dijalankan di dalam kawasan kosong di dalam Tanah Rancangan FELDA dalam Negeri Sembilan dan pelaksanaan Projek PPP ini melibatkan pemberian geran sebanyak RM9.5 Juta.

”Antara projek-projek yang telah dijalankan adalah Projek Madu Kelulut, Projek Ayam Kampung, Projek Arnab Pedaging, Projek Biri-biri/Dorper, Projek Sayur Hidroponik, Projek Ikan Tilapia, dan Projek Cili Fertigasi.

“Secara amnya, kawasan FELDA dalam daerah Jempol adalah merupakan salah satu kawasan yang terletak di dalam kawasan Agropolitan yakni kawasan tumpuan pembangunan pengeluaran makanan di Negeri Sembilan. Penumpuan pembangunan sektor ternakan khasnya menggunakan kaedah penternakan secara integrasi dengan tanaman sawit / getah.,” katanya pada sesi soal jawab lisan Sidang Dewan Undangan negeri (DUN) Negeri Sembilan semalam.

Kata beliau lagi Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) turut memperkenalkan pelbagai bantuan dan inisiatif berkaitan bidang penternakan bagi menggalakkan para peneroka FELDA menjalankan aktiviti penternakan secara integrasi di kawasan yang dibenarkan oleh pihak pengurusan FELDA.

Antaranya tambah beliau bantuan baka ternakan dalam bentuk Geran Pemadanan (Skim Double Up 2.0), bantuan menaiktaraf premis ternakan (lembu, kerbau, kambing dan bebiri), bantuan menaiktaraf kolam kumbahan, bantuan mesin perincih rumput, bantuan penyediaan petak ragutan persendirian (Homeplot),bantuan pam air dan sebagainya lagi.

“Selain daripada itu, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pertanian bersedia untuk melaksanakan kolaborasi bersama FELDA dalam membangunkan kawasan pertanian. Menerusi Insentif Sekuriti Makanan, ianya merangkumi tanaman makanan seperti buahan, sayuran, tanaman ladang dan herba.

“Insentif ini adalah meliputi bantuan naiktaraf infrastruktur ladang seperti pemasangan sistem pengairan fertigasi serta bekalan input pertanian seperti baja, racun dan benih tanaman. Manakala, bagi industri asas tani pula industri pemprosesan makanan di tambah nilai produk pengeluaran dengan insentif meliputi skop naik taraf bengkel dan bekalan peralatan pemprosesan makanan.

“Insentif-insentif ini terbuka kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan temasuk usahawan-usahawan tanaman makanan di Kawasan FELDA. Sehingga kini, Seramai 477 orang telah disenarai pendek untuk menerima manfaat dari insentif ini dengan nilai peruntukan berjumlah RM 6.024 juta melibatkan seluas 635 hektar Kawasan Pembangunan bagi tahun 2024,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.