PRK KKB: Pilih Calon Kerajaan Perpaduan, Realisasikan Pembangunan Di Hulu Selangor

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Para pengundi dinasihatkan untuk memilih calon Kerajaan Perpaduan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu agar perancangan pembangunan di Hulu Selangor dapat direalisasikan.

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berkata, Kerajaan Negeri Selangor sedang merancang untuk menjadikan Hulu Selangor sebagai Lembah Klang kedua, sekaligus dapat memanfaatkan penduduk sekitar.

“Menteri Besar Selangor mengumumkan dalam ucapan beliau di majlis perjumpaan dengan rakyat bahawa kerajaan negeri berhasrat nak menjadikan Hulu Selangor sebagai Lembah Klang yang kedua.

“Bagi saya, idea ini sangat bagus. Memanglah struktur dan sektor kita dah bangunkan di Hulu Selangor, tinggal implementasi sahaja. Kita nak lakukan implementasi mengikut apa yang kita rancangkan.

“Daripada zaman dahulu masa saya menjadi Menteri Besar, memang kita nak rancang pembangunan di Hulu Selangor. Tapi walaupun saya Menteri Besar Hulu Selangor pada ketika itu, apabila projek yang bersesuaian di Sepang, kita dulukan Sepang,” katanya ketika sesi wawancara ‘Hitam Putih Kelabu’ di Facebook UMNO Online.

Menurutnya, wakil rakyat sepatutnya menjadi penghubung masyarakat dengan kerajaan negeri mahupun persekutuan untuk memudahkan segala urusan dalam membantu rakyat di sesebuah kawasan.

“Apa yang wakil rakyat Parlimen Batang Kali dan Ulu Bernam boleh buat? Dia bukan sebahagian daripada kerajaan. Jadi, kita kena lantik seorang wakil rakyat mewakili Kerajaan Perpaduan.

“Semasa saya menjadi Menteri Besar Selangor dulu, saya akan menggunakan penghubung ataupun fasilitator. Dia akan berhubung dengan jabatan belia, jabatan pertanian dan lain-lain. Itulah peranan wakil rakyat. Jadi wakil rakyat ni, siang malam bergelumang di bawah (berjumpa rakyat) tu, bertemu dengan pelbagai cabang ni.

“Banyak cabang yang akan berjumpa dengan dia (wakil rakyat). Jadi, kalau wakil rakyat kita di semua tempat ini aktif, berhubung dengan pihak kerajaan, maka kawasan dia akan menjadi maju,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar para pengundi di Kuala Kubu Baharu menzahirkan undi mereka dengan tujuan untuk memperkukuhkan lagi kedudukan Kerajaan Perpaduan di Negeri Selangor.

“Kalau wakil rakyat ni terdiri daripada parti pembangkang, macam mana dia nak buat kerja? Sukarlah sedikit. Tempat yang diwakili oleh pembangkang ini memang sukar. Apabila rakyat berjumpa perlukan bantuan, mungkin mereka tidak dapat berhubung dengan pejabat negeri, menteri besar dan sebagainya. Rakyat pilih wakil rakyat ini supaya mereka menjadi penghubung rakyat dengan kerajaan.

“Pada hari mengundi nanti keluar awal pagi pergi ke pusat pengundian, undi calon Kerajaan Perpaduan untuk mengukuhkan lagi kerajaan ini. Mudah-mudahan Allah SWT akan memberi rahmat yang banyak bukan hanya untuk Kuala Kubu Baharu tetapi untuk kekuatan bangsa dan negara,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei 2024 dengan 27 April 2024 sebagai hari penamaan calon.

Tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 27 April 2024 sehingga jam 11.59 malam, 10 Mei 2024. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.