PRK KKB: Beri Undi Kepada Sock Tao, Aspirasi Kerajaan Perpaduan – Dr Asyraf

KUALA KUBU BHARU, 9 Mei – Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memohon pada seluruh warga Kuala Kubu Bharu (KKB) agar memberi undi kepada calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao.

Katanya, calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini bukannya mewakili satu parti tapi adalah aspirasi Kerajaan Perpaduan.

“Saya memohon dan merayu kepada semua pengundi untuk memujuk warga, rakan taulan, sahabat handai, jiran tetangga. Berilah undi kepada calon nombor dua, Pang Sock Tao wakil parti Pakatan Harapan (PH) yang mewakili aspirasi Kerajaan Perpaduan.

“Ini adalah Kerajaan Perpaduan yang mewakili citra berbagai kaum dan agama tanpa sesekali menanggalkan asas penting iaitu Islam agama Persekutuan, kedudukan Melayu/Bumiputera tetap terpelihara dan terjaga dan Raja-raja Melayu tetap kita dukung dan sokong.

“Saya yakin dan percaya inilah wajah baharu Malaysia yang mengekalkan semangat lama dari Perikatan kepada Barisan Nasional (BN) dan hari ini Kerajaan Perpaduan. Insya-Allah, asas ini kita bina, politik stabil, pelabur masuk kembali, ekonomi akan kembali pulih dan kesejahteraan akan dapat sama-sama dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah Kelompok Perpaduan, bilik gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Utama Batang Kali, malam tadi.

Turut hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Hasmuni Hasan; Setiausaha Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Sohar; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Imran Tamrin; Ketua UMNO Bahagian Padang Serai, Datuk Asmadi Abu Talib; Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Aminuddin Omar dan penduduk Bandar Utama Batang Kali.

Mengulas lanjut, Dr Asyraf percaya orang Melayu dan akar umbi UMNO sememangnya bijak dan tidak terpengaruh sentimen yang dimainkan pembangkang.

“Saya percaya orang Melayu khususnya pengundi-pengundi UMNO amat bijaksana. Mereka tahu bila mahu memberikan sokongan dan dukungan serta apakah keperluan untuk kita. Akhirnya tidak akan termakan dengan mainan sentimen murahan.

“Ini bukan kita hendak mainkan sentimen Melayu lawan Cina tapi ini untuk memilih pemimpin yang mewakili suara rakyat yang dapat menjadi jambatan kepada kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Kerajaan negeri hari ini adalah Kerajaan Perpaduan. Kerajaan Persekutuan adalah Kerajaan Perpaduan dan wakil rakyat yang akan dipilih ini bukan sebenarnya mewakili parti-parti tertentu tetapi mereka mewakili semangat Kerajaan Perpaduan,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.