Jalaluddin Berpuas Hati… Persidangan DUN Negeri Sembilan Lancar, Teratur

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berpuas hati pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang berakhir hari ini.

Bagi beliau perjalanan persidangan yang berjalan dengan teratur membolehkan segala urusan dan soal-soal kepentingan rakyat serta negeri dapat dirancang serta dijayakan sebaiknya.

“Alhamdulillah syukur kehadrat Ilahi kerana persidangan kali ini berjalan dengan cukup pantas, tertib dan harmonis dari awal hingga akhir.

“Saya juga berpeluang bangun menggulung selama 30 minit bagi menjawab 15 isu utama yang dibangkitkan oleh 12 orang ADUN kawasan. Sebagai penghargaan, suka untuk saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan ADUN yang mengambil bahagian dalam persidangan kali ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau penglibatan ADUN dalam sidang DUN memberi nilai yang amat bermakna kepada rakyat setempat.

“Penglibatan ADUN dalam dewan merupakan salah satu sentuhan makna terhadap nilai undi yang telah diberikan oleh para pengundi di kawasan yang kita wakili.

“Diruangan ini juga saya nak zahirkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua pegawai dan kakitangan pengurusan dewan, wakil-wakil jabatan, agensi, rakan-rakan media, pihak keselamatan dan orang perseorangan yang menyumbang kepada kelancaran sidang kali ini.

“Semoga setiap tindakan yang berpihak kepada kesejahteraan rakyat dapat direalisasikan segera tanpa tangguh, Insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.