UMNO 78 Tahun: Tak Luntur Perjuangan, Teruskan Pertahan Agama, Bangsa Dan Negara – Tengku Hafiz
KUALA LUMPUR, 8 Mei – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Tengku Muhammad Hafiz Tengku Adnan mengajak ahli-ahli parti untuk meraikan tarikh ulang tahun kelahiran UMNO pada 11 Mei ini dengan menghayati nilai perjuangan.
Ini kerana katanya, UMNO adalah sebuah parti politik yang menjadi platform perjuangan dengan mendukung cita-cita Kebangsaan berpaksikan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.
“Usia 78 tahun ini adalah satu bukti bahawa UMNO ada sejarah yang panjang, mempunyai terlalu banyak budi dan nilai yang perlu dihayati lantas dijadikan aspirasi oleh anak muda agar meneruskan legasi perjuangan ini.
“Usia UMNO lebih tua dari angka kemerdekaan negara kerana UMNO ini adalah pelopor kepada gerakan nasionalisme bagi membebaskan tanah air dari penjajah, membawa kepada perpaduan bangsa dari seluruh tanah air dan mencapai kemerdekaan.
“Kemudiannya, UMNO bersama-sama menjadi tonggak dalam kerajaan yang membawa kepada pembangunan, kemajuan dan kejayaan hinggakan nama Malaysia di kenali diperingkat antarabangsa,” katanya kepada UMNO Online.
Dalam hal ini Tengku Hafiz yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya menegaskan kesatuan dan perpaduan bangsa yang dahulunya diangkat oleh UMNO perlu dikembalikan dan bangkit menjadikan parti ini kukuh.
“UMNO sebelum ini tewas dalam pilihan raya akibat manipulasi dan persepsi pihak lawan maka sekarang adalah ruang terbaik kepada kita kembali bersatu dan berpadu dalam parti lantas raih semula sokongan rakyat.
“Malaysia mempunyai kesinambungan pembangunan sejak merdeka yang didorong oleh keupayaan daripada UMNO maka kita marilah kita gunakan ruang yang hari ini dengan semangat kesatuan bagi terus menyemarakkan parti.”
Ujarnya, dalam apa jua keadaan, jasa dan nilai pengorbanan yang telah dilakukan oleh UMNO sepanjang 78 tahun kewujudannya tidak boleh dinafikan mana-mana pihak.
“Kerana itulah, UMNO bukan parti retorik kerana perjuangannya telah diterjemah, lihat bukti yang nyata dan marilah kembali berpadu untuk membawa Malaysia ke arah negara maju yang lebih gemilang pada masa depan.” – UMNO Online