Suntikan Semangat Baharu… Retreat Puteri UMNO Sabah Antara Kesiapsiagaan Depani Cabaran

KOTA KINABALU, 8 Mei – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Sabah, Ummi Nabilah Jamal menzahirkan kesyukuran kerana retreat yang dilaksanakan hujung minggu lalu berlangsung lancar malah memberi suntikan semangat kepada anggota parti.

Katanya, kejayaan pelaksanaan retreat Puteri UMNO Sabah menandakan kesiapsiagaan semua ketua-ketua Puteri UMNO Bahagian di negeri terbabit untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Alhamdulilah Retreat Puteri UMNO Sabah telah berjalan lancar dan mendapat kata sepakat daripada semua Ketua-ketua Puteri UMNO Bahagian Sabah untuk menghadapi PRN akan datang.

“Puteri UMNO Sabah juga telah berjaya mengadakan jelajah di seluruh negeri ini. Siri jelajah ini adalah berjumpa dan mempekasakan Puteri UMNO di semua peringkat dan bahagian,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, perasmian retreat tersebut telah diadakan secara serentak dengan Majlis Santunan Kasih Syawal Puteri UMNO Sabah yang disempurnakan oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin selaku Ketua UMNO Sabah.

Turut hadir bersama ialah Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan naibnya, Siti Sokleha Nordin bersama kepimpinan Puteri UMNO Sabah dan bahagian-bahagian.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Bung Moktar mengakui bahawa retreat tersebut adalah untuk menilai kelemahan, kelebihan dan merencana strategi-strategi bagi berhadapan PRN tidak lama lagi.

“Memang benar seperti apa yang dikatakan bahawa selepas 2018 UMNO Sabah hampir lumpuh, namun begitu, Alhamdulilah kita mampu membinanya semula ke satu tahap yang membanggakan dengan keahlian 600,000 iaitu antara yang tertinggi di Malaysia”

“Keadaan politik masa kini berbeza, maka jadilah Puteri yang berpengetahuan, intelek dan berani serta tegas kerana tanggungjawab kerana beban Puteri sangat berat pada zaman ini,” katanya.
Bagi terus mengharungi cabaran masa hadapan Bung Moktar meminta anggota Puteri untuk sama-sama berjuang dalam parti.

“Puteri-puteri jangan berjalan di hadapan atau di belakang saya tetapi jalan seiring dengan saya dan kita berjuang bersama-sama,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.