Sidang DUN Pahang: Kerajaan Komited Usaha Sediakan Kemudahan Asas Terbaik Kepada Rakyat

KUANTAN, 8 Mei 2024 – Segala usaha yang dilakukan oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) memerlukan masa untuk melihat hasil keseluruhan malah ada isu atau permasalahan yang timbul turut melibatkan faktor luar jangka.

YAB Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri Pahang melalui PAIP komited dalam usaha menyediakan kemudahan asas penting yang terbaik kepada rakyat termasuk kerja-kerja menggantikan paip-paip usang, menaiktaraf loji dan tangki-tangki.

“Masalah bekalan air sukar dinoktahkan termasuk ketika musim perayaan apabila pengguna bertambah, orang balik kampung.. namun usaha terus dilakukan sehingga kita mencapai sasaran 90 peratus masalah air selesai menjelang akhir tahun 2026.

“Kerajaan Negeri menerusi PAIP juga sedang giat laksanakan Projek Pembangunan Bekalan Air Negeri Pahang Fasa 1. Sehingga April 2024 sejumlah 217 projek berjumlah RM2.5 bilion yang diumumkan masih diberi fokus utama disamping projek-projek tambahan yang lain. Sebanyak RM103 projek telah berjaya disiapkan membabitkan kos sebanyak RM121.2 juta.

“Sehingga kini juga ada 32 buah projek bernilai RM 461 juta yang sedang dalam peringkat pelaksanaan di mana Surat Setuju Terima (SST) telah diserahkan kepada kontraktor yang dilantik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Inderapura, YB Dato’ Sri Shafik Fauzan Sharif dan soalan tambahan daripada ADUN Luit, YB Tuan Mohd Sofian Abd Jalil pada sesi soal jawab sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Sementara itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, jumlah air tidak terhasil (NRW) adalah berbeza antara luar bandar dengan kawasan bandar namun bacaannya kini sudah semakin baik.

“Kita pernah capai (bacaan) di kawasan bandar Kuantan dan Temerloh lebih 50 peratus, sekarang sudah semakin berkurangan di bawah 40 peratus..nak noktahkan sukar tapi keadaan sudah semakin baik.

“Berkenaan dengan hutang, dulu (hutang Kerajaan Negeri) RM3.31 bilion termasuk hal ehwal air. Selepas saya jadi Menteri Besar Pahang bila dibentang hutang negeri, Pahang adalah di tempat pertama (paling banyak) namun bermula daripada 2018 kita berjaya kurangkan hutang sehingga RM993.62 juta.

“Alhamdulillah, Allah permudahkan kerja saya dan ketika itu YB (Cheka) jadi menteri (KASA), jadi usaha-usaha telah dibuat mendapat sokongan beliau, yang itu saya kena berterima kasih,” katanya menjawab soalan tambahan dari ADUN Cheka, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkenaan margin rizab air terawat yang kritikal di Kuantan ekoran permintaan tinggi terutamnya dari Kawasan Perindustrian Gebeng serta hutang semasa PAIP.

Dalam sesi sama, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man turut menyampaikan ucapan tahniah kepada PAIP di atas tadbir urus yang baik dalam mengatasi isu air di negeri ini.

“Tahniah PAIP kerana ada perancangan teliti dan tersusun untuk mencapai margin rizab sekurang-kurangnya sebanyak 7.6 peratus,” katanya. – PAHANGMEDIA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.