Penuhi Keperluan, Jaga Alam Sekitar… Malaysia Berhasrat Perkenal Program ‘Diplomasi Orang Utan’ – Johari

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Untuk memenuhi keselamatan makanan sambil menjaga alam sekitar, Malaysia berhasrat untuk memperkenalkan program ‘diplomasi orang utan’ kepada negara dagang sawit.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara tersebut diusulkan berikutan banyak rakan dagangan dunia semakin bimbang tentang kesan komoditi pertanian terhadap iklim.

“Merasmikan Forum Biodiversiti Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) di Resorts World Awana.

“Banyak rakan dagangan dunia semakin bimbang tentang kesan komoditi pertanian terhadap iklim. Malaysia boleh membuktikan kepada masyarakat global bahawa kita sentiasa menjaga keseimbangan antara memenuhi keperluan keselamatan makanan sambil menjaga alam sekitar.

“Justeru, Malaysia berhasrat untuk mewujudkan ‘diplomasi orang utan’ seperti China yang telah berjaya mewujudkan program ‘diplomasi panda’ kepada negara-negara di dunia,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO turut memaklumkan bahawa program tersebut merupakan salah satu strategi diplomasi bersama rakan dagangan dan negara luar.

“Ia merupakan satu strategi diplomasi, di mana kita akan menjadikannya hadiah kepada rakan dagangan serta hubungan negara luar terutama negara pengimport utama seperti Kesatuan Eropah, India dan China. Dengan memperkenalkan ‘diplomasi orang utan’, ia secara langsung membuktikan kepada masyarakat dunia bahawa Malaysia sentiasa komited terhadap pemuliharaan biodiversiti.

“Malaysia tidak boleh mengambil pendekatan defensif terhadap soal minyak sawit, sebaliknya kita perlu menunjukkan kepada negara-negara dunia bahawa Malaysia merupakan pengeluar sawit yang mampan dan komited menjaga hutan serta kelestarian alam,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) yang telah berjaya menganjurkan Forum Biodiversiti 2024 tersebut.

“Oleh itu, saya mengalu-alukan syarikat besar sawit untuk bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menjaga, memelihara serta memberi kesedaran kepada rakan global kita di samping menyediakan kepakaran teknikal mengenai spesies hidupan liar yang ikonik di Malaysia.

“Ini akan menjadi manifestasi bagaimana Malaysia memelihara spesies hidupan liar dan mengekalkan kemampanan hutan kita terutamanya di dalam landskap perladangan kelapa sawit.

“Tahniah kepada Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) yang bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) serta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam menganjurkan Forum Biodiversiti 2024 ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.