Kukuhkan Integrasi Dan Perpaduan… Pupuk Budaya Saling Menghormati Antara Kaum, Agama – Muizz

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Budaya saling menghormati dan memahami antara pelbagai kumpulan etnik serta agama boleh membantu dalam usaha untuk mengukuhkan integrasi perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Segambut, Muizz Nasruddin berkata, meskipun pelbagai kontroversi telah tercetus berkaitan 3R (raja, bangsa dan agama), UMNO tetap berpegang teguh dengan prinsip keharmonian dan kesatuan di antara rakyat Malaysia.

“Saya ingin menegaskan bahawa UMNO mengecam sebarang tindakan yang mencetuskan kontroversi berkaitan dengan isu 3R. Walaupun pelbagai undang-undang dan peraturan telah ditetapkan, kita dapati masih ada pihak yang terus mengangkat isu 3R dalam pelbagai perkara. Ini termasuk penggunaan kalimah ‘Allah’, ingar terhadap titah Yang di-Pertuan Agong dan lain-lain.

“Seperti yang telah dinyatakan oleh pemimpin-pemimpin UMNO sebelum ini, kami berpegang teguh kepada prinsip keharmonian dan kesatuan di antara rakyat Malaysia. Kami percaya bahawa sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan beragama, kita harus menghormati serta mengiktiraf hak-hak termasuklah sensitiviti setiap komuniti.

“Oleh itu, saya menggalakkan dialog dan penyelesaian yang berasaskan semangat saling hormat-menghormati untuk menangani isu-isu sensitif ini. Marilah kita bersama-sama mengelakkan perkara-perkara yang boleh memecahbelahkan masyarakat. Sebaliknya, memberi tumpuan kepada usaha untuk membangunkan negara ke arah yang lebih baik,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, UMNO masih teguh berpegang kepada prinsip kebersamaan dan keadilan meskipun menempuhi pelbagai cabaran ketika bersama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya ingin menyatakan bahawa kekukuhan Kerajaan Perpaduan adalah penting bagi kemakmuran negara kita. Walaupun kita dihadapkan dengan pelbagai cabaran pada masa kini, UMNO tetap kukuh pada prinsip kebersamaan dan keadilan.

“Dengan keyakinan yang teguh dalam semangat kerjasama dan pendekatan holistik, saya membayangkan sebuah Malaysia yang bersatu dapat mengatasi sebarang rintangan yang kita hadapi. Kita berjanji untuk bekerjasama dengan semua pihak, termasuk rakyat Malaysia, untuk menangani isu-isu yang rumit ini.

“Selain itu, kita bertekad untuk mengukuhkan integrasi dan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia. Dengan memupuk budaya saling hormat dan pemahaman di kalangan pelbagai kumpulan etnik dan agama, kita bercita-cita untuk membina sebuah negara yang lebih bersatu dan harmonis,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa komunikasi terbuka dan jujur penting untuk mengekalkan kestabilan Kerajaan Perpaduan.

“Saya menegaskan komitmen untuk memperkukuhkan perpaduan di Malaysia melalui saling hormat dan pemahaman antara pelbagai kumpulan etnik dan agama. Untuk mengekalkan kestabilan kerajaan, penting untuk menjaga komunikasi terbuka dan jujur serta memastikan keputusan yang diambil adalah adil dan berprinsip.

“Kerjasama dan kompromi juga diperlukan dalam menghadapi cabaran, di samping memastikan pemimpin adalah teladan yang berwibawa dan memperjuangkan kepentingan rakyat.

“Kepercayaan rakyat juga penting dengan memastikan kerajaan sentiasa mendengar suara rakyat. Dengan mengamalkan nilai-nilai ini, Saya yakin Malaysia akan menuju ke masa depan yang lebih cerah,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.