Kerajaan Negeri Sembilan Ambil Berat, Peka Kos Sara Hidup Rakyat – Jalaluddin

SEREMBAN, 8 Mei – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata kerajaan negeri sentiasa peka dan mengambil berat akan isu dan permasalahan rakyat berhubung kos sara hidup yang semakin meningkat saban hari.

Menurut beliau melalui Belanjawan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2024, kerajaan negeri telah mengambil pendekatan dan langkah dengan memperkenalkan Skim Sejahtera Rakyat (SSR) yang merupakan suatu bentuk bantuan kepada pelbagai kelompok masyarakat yang memerlukan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM29.75 juta.

Jelas beliau bantuan ini akan disalurkan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang memenuhi kriteria layak menerima bantuan untuk memastikan bantuan yang dirangkumkan di bawah SSR ini dapat dinikmati oleh golongan sasar yang telah ditetapkan tidak terkecuali penduduk di kawasan luar bandar.

“Antara inisiatif yang termasuk di bawah SSR ini adalah bantuan kemasukan ke sekolah asrama penuh sebanyak RM300, bantuan perkahwinan RM500 kepada setiap anak negeri yang mendirikan rumah tangga kali pertama, sumbangan keceriaan tahunan RM200 kepada ibu tunggal berpendapatan bawah RM2,000, sumbangan keceriaan tahunan RM200 kepada warga emas berumur 70 tahun ke atas dan bantuan Food Bank untuk keluarga termiskin dalam sistem e-Kasih.

“Selain bantuan SSR ini, antara bantuan lain yang turut dikekalkan dan diteruskan Kerajaan Negeri adalah Bantuan Anak Sekolah (BAS) dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM900,000 dan Biasiswa Anak Negeri untuk pelajar-pelajar sekolah menengah dengan peruntukan sebanyak RM800,000.

“Sebanyak RM3.6 juta turut diperuntukkan bagi pelaksanaan Skim Dermasiswa Sara Hidup yang merupakan bantuan sara hidup RM150 sebulan untuk pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dari keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam yang memasuki hari ketiga.

Tambah Jalaluddin selain daripada bantuan secara berkala dan ‘one-off’, antara intervensi kerajaan negeri dalam mendepani masalah kenaikan kos sara hidup yang dihadapi rakyat  secara amnya adalah dengan melalui inisiatif-inisiatif peningkatan pendapatan yang melibatkan golongan miskin tegar, miskin dan B40 di kawasan bandar mahupun di luar bandar.

Tambahnya inisiatif seperti Tabung Usahawan Negeri Sembilan (TUNS), dan TUNS Plus dapat memberi manfaat kepada usahawan berskala kecil untuk mengembangkan perniagaan dan produk usahawan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan mereka.

Sehingga kini, kata beliau seramai 6,135 usahawan telah menerima manfaat daripada Inisiatif TUNS sejak diperkenalkan pada tahun 2019 melibatkan 2,616 usahawan dari luar bandar seperti di daerah Jempol, Jelebu, Tampin, Kuala Pilah dan Rembau.

Manakala Inisiatif TUNS Plus telah memanfaatkan seramai 616 usahawan sejak tahun 2021, katanya.

“Kerajaan negeri turut menjalinkan kerjasama erat bersama Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR). Terdapat empat inisiatif di bawah IPR iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN), Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN) dan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar (BMT).

“Objektif IPR ini merupakan suntikan bantuan daripada kerajaan bagi memastikan golongan sasar iaitu miskin tegar, miskin dan B40 dapat meningkatkan pendapatan melalui bantuan kewangan, khidmat nasihat serta kursus-kursus yang ditawarkan oleh agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri,” ujarnya.

Ujar beliau lagi, selaras dengan usaha kerajaan negeri membantu mengurangkan beban tanggungan rakyat, turut dilaksanakan Jualan Agro MADANI dengan peruntukan sebanyak RM3.0 juta.

“Jualan Agro MADANI ini adalah penjenamaan semula program Jualan Nismilan Prihatin yang telah dimulakan sejak tahun 2022 khusus bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat dengan penawaran penjimatan antara 10% hingga 30% dari harga pasaran,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.