Kajian Empirikal Pengasingan Kuasa Bukti Kerajaan Perpaduan Komited Realisasi Agenda Reformasi

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Kajian empirikal pengasingan kuasa di antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara merupakan bukti bahawa Kerajaan Perpaduan sentiasa komited untuk merealisasikan agenda reformasi.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau bersama delegasi Malaysia sedang menjalankan kajian tersebut di Ottawa, Kanada.

“Saya bersama delegasi Malaysia sedang menjalankan kajian di Ottawa, Kanada untuk mendalami konsep pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

“Delegasi termasuk ahli-ahli Parlimen, pegawai kanan dari Bahagian Hal Ehwal Udang-undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara serta Presiden Majlis Peguam Malaysia,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO memaklumkan bahawa kajian empirikal tersebut dimulai dengan rundingan meja bulat untuk membincangkan struktur dan fungsi kedua-dua badan tersebut.

“Hari ini iaitu pertama dimulai dengan rundingan meja bulat anjuran bersama BHEUU, University of Ottawa dan Universiti Malaya yang bertujuan untuk memudah cara dialog tentang struktur dan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang diamalkan di Malaysia dan Kanada.

“Sesi itu melibatkan lebih dari tiga puluh ahli panel dan penceramah dari Malaysia dan Kanada serta wakil-wakil pertubuhan masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan yang berkepentingan. Selepas itu, delegasi telah makan tengah hari di High Commission of Malaysia, Ottawa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa reformasi institusi ini penting bagi memudahcarakan urus tadbir negara demi kesejahteraan rakyat dan negara.

“Pada sebelah petang, delegasi bertemu dengan Menteri Kehakiman dan Peguam Negara Kanada, Tuan Yang Terutama Arif Virani untuk memahami proses pemisahan kuasa yang dilalui oleh Kanada. Hari pertama diakhiri dengan sesi makan malam membabitkan delegasi.

“Kajian empirikal ini merupakan bukti jelas komitmen Kerajaan Madani dalam merealisasikan agenda reformasi institusi bagi memastikan tadbir urus negara terus dipertingkatkan untuk kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.