UMNO 78 Tahun: Wanita UMNO Terus Kuat, Teguh Pertahan Parti Berdepan Cabaran – Rosni Sohar

KUALA KUBU BHARU, 7 Mei – Setiausaha Wanita UMNO Malaysia Datuk Rosni Sohar menjelaskan Wanita UMNO merupakan satu tonggak kekuatan parti dan sentiasa menyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ujarnya, dalam usia UMNO menjelang 78 tahun, Wanita UMNO tetap menyokong dan berdiri bersama Presiden walaupun berbagai-bagai cabaran dihadapi.

“Wanita UMNO terus kuat, tabah, waktu menghadapi cabaran yang kritikal dan susah kita kekalkan menyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan itu paling penting sekali.

“Kita kuat, tabah, yakin dan setia pada parti serta juga setia pada ‘ulul amri’. Wanita UMNO akan terus berkerja kuat dan juga merupakan satu ‘squad’ yang dominan menentukan impian Presiden parti akan tercapai.

“Kalau ada yang nak hancurkan parti dia akan target ‘kepala’ dahulu. Wanita UMNO sentiasa setia pada Presiden parti, kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) semua dan juga peringkat negeri,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Hulu Selangor mengharapkan pada tarikh yang sama mendapat dua kegembiraan iaitu ulang tahun UMNO dan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.

“Saya mengharapkan mudah-mudahan hari kelahiran UMNO dimulakan dengan kemenangan PRK Kuala Kubu Bharu seterusnya UMNO akan bertambah kuat dan sokongan pada Kerajaan Perpaduan.

“Sempena ulang tahun UMNO, kita sambut beberapa kegembiraan dan mudah-mudahan PRK Kuala Kubu Bharu milik Kerajaan Perpaduan. Kita ‘share’ tanggungjawab kepada rakyat, paling penting ekonomi terjaga dan kerajaan ke arah membaiki ekonomi, begitu juga penyatuan masyarakat,” katanya lagi.

Pada masa yang sama Rosni berkeyakinan tinggi UMNO akan kembali cemerlang dan gemilang seperti dulu.

“Saya yakin satu hari nanti UMNO akan terus cemerlang, gemilang seperti dulu. Berkat kerja kuat, sabar dan juga berkat kesetiaan, mudah-mudahan semuanya akan berjalan lancar,” jelas beliau.

Ulang tahun UMNO yang disambut setiap tahun pada 11 Mei. Sambutan kali ini diadakan secara serentak melibatkan 12 negeri sebagai platform mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli parti.

Sambutan ini sebagai platform memperkukuh perpaduan dan solidariti dalam kalangan pendukung parti. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.