UMNO 78 Tahun… Sama-sama Kita Dayung Bahtera Perjuangan – Norshida

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Ulang Tahun UMNO ke-78 yang disambut setiap 11 Mei adalah cukup bermakna bagi ahli-ahli parti seluruh negara dan tentunya saban tahun tarikh ini akan diingati kerana perjuangan yang diwarisi daripada pimpinan terdahulu dalam usaha membela nasib serta perjuangan orang-orang Melayu di negara ini.

Begitu jugalah perasaan yang dikongsi bersama Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim yang melihat cabaran demi cabaran melanda parti sudah pasti memerlukan satu usaha padu daripada pimpinan dan ahli semua peringkat untuk sama-sama mendayung bahtera perjuangan ini hingga ke titik noktahnya.

Menurut beliau, hari ini ahli parti tentunya mahu melihat UMNO kembali bangkit dengan megah dan terus menjadi pilihan serta kepercayaan masyarakat Melayu di negara ini sebagai sebuah parti yang memayungi mereka.

“Usaha kita perlu berterusan dan gerak kerja kita juga mestilah seiring dengan matlamat kita semua untuk melihat parti ini terus gagah melangkah ke depan dengan pelbagai onak dan duri yang saban hari silih berganti.

“Impian kita semua sudah pastilah mahu UMNO terus memayungi orang-orang Melayu. Tanpa muafakat dan tanpa kerjasama yang jitu di kalangan ahli dan sesama sendiri maka usaha yang dibina bakal terhenti di pertengahan jalan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

UMNO akan menyambut ulang tahun ke-78 Sabtu ini dan 11 Mei saban tahun tetap diingati sebagai hari lahirnya sebuah perjuangan orang-orang Melayu yang dirintis pimpinan terdahulu.

Kata beliau lagi, UMNO hari ini tidak boleh lagi mengambil sikap seolah-olah selesa dengan apa yang ada termasuklah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan dan sudah pasti sebolehnya mahu menjadi sebuah parti yang bukan hanya menumpang, sebaliknya gagah berdiri dan bermuafakat dengan parti-parti yang lain.

Dalam keadaan serta senario itu, tambah beliau lagi masing-masing janganlah leka dan alpa dengan apa yang dinikmati hari ini sebaliknya sama-sama berusaha dan apa yang utama menolak budaya tidak menguntungkan parti.

“Ketepikan segala iri hati dan tolak ke tepi budaya yang mementingkan diri sendiri. Untuk bangkit semula percayalah bukan sesuatu yang mudah dan untuk melihat UMNO seperti dahulu percayalah bukanlah satu perkara yang senang namun ianya bukanlah satu perkara yang amat mustahil.

“Nawaitu pimpinan serta ahli pelbagai peringkat cukup penting kerana kombinasi kesepaduan merupakan salah satu kunci utama untuk parti bangkit kembali sepertimana yang kita rasa dan kita lihat pada saat ketika dahulu.

“Sempena ulang tahun UMNO ke-78 pada 11 Mei ini, marilah kita semua tautkan permuafakatan dan tolaklah politik yang merugikan parti. Percayalah UMNO masih lagi menjadi harapan kepada orang-orang Melayu di negara ini dan kita buktikan… kita tunjukkan bahawa perjuangan UMNO dulu, kini dan selamanya tetap relevan.

“Justeru inilah masanya untuk kita sama-sama membina semula kekuatan dengan ahli yang masih setia dan mereka yang ingin terus berjuang bersama-sama dengan kita. Tanamkan dalam diri kita bahawa perjuangan bukan sahaja menuntut pengorbanan malah memerlukan daya usaha yang berterusan. Jangan kita mudah berputus asa… insya-Allah. Kita merancang Allah juga merancang, namun perancangan Allah SWT sebaiknya,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.