Mesyuarat Akar Umbi Kembalikan Kebangkitan UMNO, Dari Rakyat Untuk Rakyat – Mohd Rafi

LABUAN, 7 Mei – Semangat ahli-ahli akar umbi yang begitu komited melaksanakan persidangan peringkat cawangan UMNO mengundang rasa terharu lantaran suara mereka yang mahukan parti terbabit kembali teguh dan menjadi tampuk kepimpinan negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan yang telah merasmikan mesyuarat UMNO Cawangan Gersik Sagoking di Labuan pada Ahad mengakui bahawa keterujaan anggota parti bagi mengembalikan Parlimen Labuan kepada UMNO/Barisan Nasional (BN).

“UMNO sebuah parti keramat, serangan demi serangan tanpa henti sejak dulu lagi, tetapi parti ini tetap berdiri teguh membela nasib rakyat di luar sana.

“UMNO lahir daripada rakyat, walaupun kami kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas namun UMNO tidak pernah berhenti melaksanakan khidmat bakti dengan tetap membela nasib rakyat khususnya di Labuan ini,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan merakamkan penghargaan dan mengucapkan syabas kepada kepimpinan UMNO di akar UMNO yang menyemarakkan perjuangan setiap masa.

“Syabas dan tahniah kepada Saudara Zainal Bungsu dan barisan kepimpinan yang telah berjaya mengadakan mesyuarat dengan penuh semangatnya.

“Kebiasaannya kehadiran dalam mesyuarat UMNO jika tidak ada pemilihan hanya lebih kurang sahaja tetapi tahun ini kehadiran sangat-sangat luar biasa dan penuh dengan semangat. Kami yang hadir merasakan seperti suasana dalam pilihan raya.

“Dimulakan dengan persembahan silat oleh anak-anak muda Sagoking dan seterusnya sorakan kebangkitan UMNO telah menggegarkan suasana mesyuarat. Saya secara peribadi rasa terharu dan bangga melihat kebangkitan UMNO yang benar-benar berlaku termasuk kehadiran mesyuarat cawangan tersebut,” katanya lagi.

Dilaporkan, mesyuarat Cawangan UMNO telah berlangsung sejak 22 April lalu hingga 2 Jun depan.

Ia akan disusuli mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian akan diadakan bermula 21 Jun 2024 sehingga 29 Julai 2024.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula akan diadakan pada 21 sehingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.