Kementerian Pertahanan Konsisten Dukung Dasar Negara, Tentang Ketidakadilan Ke Atas Palestin

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Kementerian Pertahanan secara konsisten sentiasa mendukung dasar negara untuk menentang segala bentuk ketidakadilan ke atas negara Palestin kata menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO dalam satu kenyataan menegaskan bahawa Malaysia mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan dalam urusan mana-mana syarikat global dengan negara-negara tertentu.

“Kementerian Pertahanan mengambil maklum terdapatnya desakan segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan penyertaan beberapa syarikat pertahanan global dalam pameran Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2024 di Kuala Lumpur.

“Dalam hal ini, Kementerian Pertahanan ingin menegaskan perkara-perkara berikut. Malaysia adalah sebuah negara perdagangan bebas yang memberi ruang kepada semua pemain industri global untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di Malaysia.

“Justeru Malaysia mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan dalam urusan perniagaan mana-mana syarikat global dengan mana-mana negara tertentu. Hubungan beberapa syarikat pertahanan global dengan negara tertentu adalah urusan perniagaan yang tidak akan Malaysia campur tangan,” katanya.

Menurutnya, pameran tersebut merupakan medium untuk menyediakan ruang bagi membolehkan kerajaan dari pelbagai negara meneroka pelbagai teknologi dan inovasi termaju.

“Penganjuran pameran ini juga sangat jelas iaitu menyediakan ruang dan memberi peluang kepada semua pihak untuk mempamerkan kepakaran serta teknologi terbaharu pertahanan. Ia membolehkan kerajaan dari pelbagai negara dan para pemain industri global meneroka pelbagai teknologi serta inovasi termaju demi meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan masing-masing.

“Pameran ini tidak memihak dan memberi kelebihan kepada mana-mana negara atau syarikat tertentu. Sebaliknya dibuka kepada semua negara dan pemain industri termasuk penyertaan besar dari negara-negara Islam seperti Republik Turkiye, Republik Indonesia, UAE, Iran, Bosnia & Herzegovina serta Pakistan.

“Selain negara-negara Islam, pameran ini turut menjadi arena penting kepada pemain pertahanan Asia dari Korea Selatan, China, India dan Singapura. DSA dan NATSEC Asia 2024 juga adalah satu pameran yang dianjurkan oleh pihak swasta dengan kos dan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penganjur. Kerajaan Malaysia tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan dalam penganjurannya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa tiada perolehan pertahanan yang akan dilaksanakan tanpa mengambil pendirian global Malaysia terutamanya dalam konflik Palestin-Israel serta kepentingan kebangsaan Malaysia.

“Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa dasar perolehan pertahanan negara dilaksanakan dengan mengambil kira kemajuan teknologi mutakhir, keperluan strategik negara, kos sesuai nilai, kepentingan nasional serta pendirian politik global Malaysia.

“Tiada perolehan pertahanan yang akan dilaksanakan tanpa mengambil kira pendirian global Malaysia terutama dalam konflik Palestin-Israel serta kepentingan kebangsaan Malaysia.

“Kementerian Pertahanan sentiasa secara konsisten mendukung dasar negara menentang segala bentuk ketidakadilan ke atas negara Palestin,” katanya lagi.

Pada Isnin media melaporkan, Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 mempamerkan teknologi dan aset peperangan elektronik tercanggih di dunia dalam sektor pertahanan darat, udara serta laut.

Acara dwitahunan yang memasuki edisi ke-18 kali ini membawa tema Building Resilient Nations For The Next Generation itu disertai lebih 1,200 syarikat dari 45 negara.

Dijadualkan berlangsung selama empat hari di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, acara itu turut menjadi tempat pertemuan utama bagi pengeluar, pembekal, agensi dan organisasi bertukar pendapat dan membina kesefahaman serta kerjasama. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.