Bung Moktar Tekad Terus Perkukuh UMNO Sabah, Rakyat Perlukan Pembelaan

KOTA KINABALU, 7 Mei – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa rakyat Sabah berhak untuk mendapat kehidupan yang lebih baik dengan pelbagai keselesaan dan kebajikan yang terjaga.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, keperluan masyarakat perlu dipenuhi khususnya melibatkan infrastruktur seperti bekalan air dan bekalan elektrik yang seringkali terganggu selain jaringan kemudahan termasuk jalan raya yang tidak sempurna dilaksana.

“Kita perlu melihat masa depan yang lebih baik untuk rakyat Sabah. Rakyat Sabah tidak layak hidup dalam keadaan sebegini

“Kita perlu perbetulkan keadaan dengan cara baik. Insya-Allah sebagai seorang pemimpin organisasi politik terbesar di Sabah, saya memberi jaminan, Sabah akan kita bangunkan dengan apa cara sekalipun sebab rakyat Sabah berhak menerima pembangunan yang baik,” katanya.

Terdahulu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag telah menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitiri Timbalan Menteri Luar merangkap Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin pada Ahad.

Katanya sambutan hari raya dan Hari Kaamatan yang diadakan bukan hanya dapat mengeratkan silaturrahim tetapi juga memperkukuh kebersamaan dalam parti.

“Program dan sambutan sedemikian adalah untuk mengeratkan silaturahim dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara kita. Sambutan sebegini juga akan dapat memumpuk semangat dan kekuatan kita,” katanya.

Bung juga pada masa sama meluahkan penghargaan kepada kepimpinan UMNO yang ada serta anggota akar umbi parti kerana sentiasa memberikan sokongan untuk terus menggalas jawatan sebagai Ketua UMNO.

“Kesetiaan dan prinsip perjuangan ini akan terus kita pertahan demi membela masa depan rakyat dan membangunkan negeri yang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek terutamanya infrastruktur asas yang sempurna,” katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris; Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat; Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan, Datuk Jafry Arifin serta kepimpinan UMNO bahagian dan masyarakat setempat. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.