Arab Saudi Jelas Serius Pertingkat Hubungan Pelaburan – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Arab Saudi jelas serius untuk mempertingkatkan hubungan pelaburannya dengan Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya menzahirkan rasa syukur kerana dapat bertemu dengan Menteri Perdagangan Arab Saudi, TYT Dr Majid Abdullah Al Qasabi.

“Alhamdulillah, murah rezeki dapat bertemu rakan sejawat saya, Menteri Perdagangan Arab Saudi, TYT Dr Majid Abdullah Al Qasabi sebanyak tiga kali dalam tempoh lebih kurang seminggu. Sebelum ini di Arab Saudi minggu lepas, kali ini kami berjumpa lagi di Kuala Lumpur pula.

“Baru saja kami adakan lawatan kerja ke Arab Saudi, Dr Majid telah menyusuli kami ke Malaysia pula untuk meneruskan perbincangan. Agenda pertama beliau di Malaysia ialah kunjungan ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Menurutnya, beliau yakin bahawa hubungan Malaysia-Arab Saudi akan terus berkembang dan membawa manfaat kepada kedua-dua negara.

“Selepas itu, Dr Majid telah ke Menara MITI pula untuk membincangkan tentang langkah-langkah bagi meneroka kerjasama dua hala dalam meningkatkan keupayaan pengeluaran tempatan kedua-dua negara termasuk dalam penyelidikan dan pembangunan hidrogen, mempromosikan pelaburan Malaysia sebagai pusat bagi pengeluaran global termasuk jawatankuasa bersama bagi kolaborasi perdagangan dan pelaburan.

“Arab Saudi jelas serius untuk meningkatkan hubungan pelaburan dengan Malaysia. Saya yakin hubungan Malaysia-Arab Saudi akan terus berkembang dan membawa manfaat kepada kedua-dua negara dan rakyatnya,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.