Ahli UMNO Diseru Untuk Rasional, Wala Kepada Parti… Matang Tepis Persepsi Negatif – Azhar

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Akar umbi dan ahli UMNO diseru untuk rasional dan wala kepada parti serta kepimpinannya, kata Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad.

Beliau yang Ahli Dewan Negara berkata, ia penting bagi memastikan UMNO bergerak secara seiringan dalam usaha memperkasakan lagi parti keramat ini.

“Sesebuah organisasi atau apa sahajalah kita dalam dunia hari ini, kadang-kadang kita melihat hitam itu putih, putih itu hitam. Jadi untuk relevankan parti kita ini, kepercayaan ahli parti kepada parti dan kepimpinan presiden mestilah mutlak.

“Kita tak boleh ragu-ragu, tak boleh. Sebagai ahli parti kita mesti wala kepada parti, wala kepada kepimpinan, wala kepada presiden. Baru la parti ini bergerak sealiran, tidak ada goncangan-goncangan, terus menuju ke destinasi.

“Presiden dah buat banyak sebenarnya daripada parti ini tak ada apa-apa… kalah 2018 atas kebijaksanaan presiden akhirnya kita tetap berada di persada kepimpinan negara,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Azhar juga turut sama berharap ahli parti termasuk rakyat khususnya untuk matang dalam menerima maklumat yang hanya berasaskan fakta kerana kecanggihan teknologi maklumat memudahkan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan persepsi negatif.

Katanya pengajarannya dapat dilihat ketika kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan rakyat termakan dengan dakyah dilakukan parti lawan.

Mengulas lanjut, beliau berkata permainan persepsi tersebut menenggelamkan segala kebaikan dilaksanakan oleh kerajaan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada ketika itu termasuk kebajikan dilakukan oleh UMNO/BN terhadap rakyat.

“Sains dan fakta menjurus kepada pembuktian tapi malang kadang-kadang ahli parti  ini lebih mempercayai berita-berita yang separuh masak dan berita tohmahan persepsi ini yang menyebabkan menjejaskan parti.

“Sebagai ahli parti kita kena hanya menerima berita daripada Majlis Kerja Tertinggi dan Presiden kalau selain daripada itu yang menyebabkan kita lumpuh. Justifikasi dalam pilihan rakyat lepas banyak berita-berita yang separuh masak dan hari-hari dimainkan.

“… akhirnya rakyat percaya, ahli parti percaya dan kita kalah dalam pilihan rakyat yang lepas atas sebab bukan UMNO, BN tidak bagus bekerja untuk rakyat tapi berita yang melahirkan kebencian rakyat kepada pemimpin dan parti akhirnya kita kalah 2018 tetapi kini sebaliknya apabila rata-rata hari ini rakyat mengatakan BN adalah parti yang terbaik untuk negara Malaysia,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.