UMNO Port Dickson Mesti Berusaha Perkuat Semula Akar Umbi – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 6 Mei – UMNO Bahagian Port Dickson mesti berusaha untuk memperkuatkan kembali UMNO di peringkat akar umbi, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan bahawa Port Dickson merupakan bahagian ke-36 untuk siri Jelajah Sesi Penerangan Isu-isu Semasa yang sedang berlangsung.

“Dari Melaka bergegas ke Negeri Sembilan di sebelah petang untuk Majlis Perasmian Berkelompok Cawangan UMNO Bahagian Port Dickson dan Sesi Pencerahan Isu-isu Semasa bertempat di Pusat Latihan DRB-HICOM, Port Dickson.

“Bahagian Port Dickson merupakan bahagian yang ke-36 dalam siri jelajah saya ke bahagian-bahagian seluruh Malaysia. Sesi dialog yang amat interaktif, menerima banyak soalan daripada ahli-ahli akar umbi dalam sesi pencerahan ini berkaitan isu-isu semasa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar sesi pencerahan tersebut dapat memberi manfaat di peringkat akar umbi agar parti dapat bangkit semula.

“UMNO Port Dickson mesti terus berusaha untuk memperkuatkan kembali UMNO di peringkat akar umbi. Semoga dengan sesi pencerahan ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat untuk akar umbi agar kembali teguh bersama perjuangan UMNO yang sentiasa komited memperjuangkan masa hadapan orang Melayu dan Bumiputera sejak sekian lama.

“Terima kasih Ketua UMNO Bahagian Port Dickson merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli dan kepimpinan UMNO Bahagian Port Dickson di atas undangan.

“Turut bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Haji Jalaluddin Alias dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Mustapha Nagoor,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.