PRK: Ahmad Maslan Yakin Jentera BN Semakin Mantap Bantu Kekalkan DUN KKB

KUALA KUBU BHARU, 6 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yakin calon Kerajaan Perpaduan Pang Souk Tao akan memenangi dan mengekalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK).

Ini kerana katanya jentera Barisan Nasional (BN) yang mantap dan kerjasama yang baik dengan jentera Pakatan Harapan (PH) memberikan kesan positif pada semua.

“Saya amat yakin dari sehari ke sehari jentera BN semakin mantap dan mereka semakin memahami mengapa perlu menyokong calon Kerajaan Perpaduan dan berkerjasama dengan jentera parti PH. Sebelum ini memang timbul isu-isu mengapa perlu sokong calon Dap?

“Saya memjelaskan bahawa kita adalah Kerajaan Perpaduan maka calon ini adalah calon dari kerajaan untuk kita menangkan.


“BN dan UMNO seluruh Negeri Selangor akan terus membantu untuk memenangkan calon ini pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu,” katanya kepada UMNO Online.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya menjelaskan UMNO sentiasa membantu dan menyokong calon Kerajaan Perpaduan.

“Sebagai satu pasukan dalam Kerajaan Perpaduan, kita kena saling tolong menolong dan tak kira siapa calon. Sama ada calon dari UMNO atau pun PH.

“Apabila tiba waktunya perang politik perlu menolong kawan dalam satu pasukan… itu adat kita berjuang,” ujarnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pontian itu telah mengadakan satu sesi perjumpaan bersama 21 bahagian angkat kepada lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Saya melancarkan bahagian angkat wanita. Terdapat 21 bahagian, lapan angkat PDM wanita dan seterusnya melancarkan 21 bahagian angkat kepada lapan PDM bersama pimpinan UMNO Negeri Selangor.

“Ia melengkapkan senarai jentera dan menambah lagi kekuatan jentera UMNO/BN bagi memastikan memenangi PRK DUN Kuala Kubu Bharu. Kita telah memberikan naratif kepada pimpinan UMNO peringkat cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri  mengenai mengapa kita perlu menyokong calon Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

Turut hadir Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din; Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohd Isa Abu Kasim serta pimpinan bahagian seluruh negeri Selangor. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.