Peranan Jentera Wanita UMNO Cukup Besar Pada PRK KKB – Rosni Sohar

KUALA KUBU BHARU, 6 Mei – Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar menegaskan jentera Wanita UMNO adalah tunjang utama parti yang sentiasa siap siaga, setia dan berkhidmat tidak mengira apa tugasan yang diberikan.

Jelas beliau, kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan jentera Wanita UMNO membuktikan sememangnya peranan yang cukup besar dan bererti sentiasa dimainkan.

“Jentera Wanita UMNO sememangnya sudah bersiap sedia tidak kira PRK dan kita sentiasa bergerak untuk turun ke bawah meraih sokongan pengundi. 

“Kita tidak boleh nafikan atau ambil mudah sahaja, sudah tentu memikirkan keputusan yang terbaik adalah dengan kerajaan bersama. Kita sedang bina ‘wave’ merah biru di serata PDM terutamanya PDM tumpuan dan juga lapan lagi Wanita UMNO lakukan.

“Wanita UMNO melakukan gerakan kempen dari rumah ke rumah tanpa erti penat dan lelah. Wanita UMNO ada ‘target’ dan rumah yang dilawati harus dimaklumkan dan kita harus fokus dan terus berkempen,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Hulu Selangor menasihati pada wanita dan ibu-ibu di Kuala Kubu Bharu untuk memangkah dan membuang undi dengan memikirkan manfaatnya kepada diri dan keluarga.

“Kenapa tidak kali ini wanita dan ibu-ibu pastikan kerajaan prihatin pada kita. Yang utama wanita mementingkan keluarga, agama dan negara. Keluarga terbela dan nasib terjaga sekiranya kita undi calon Kerajaan Perpaduan.

“Kalau kita undi calon Kerajaan Perpaduan sekurang-kurangnya kita dapat manfaat.”

Ujar beliau, biarpun UMNO bersama dalam Kerajaan Perpaduan bersama part-parti lain namun keutamaan adalah atas landasan perjuangan.

“UMNO sentiasa memantau perkara-perkara ini dan banyak perkara yang parti ini tentukan terutama tentang kalimah Allah dan sebagainya. UMNO perjuangkan dan bukannya lepas tangan walaupun bersama PH,” katanya.

Kata Rosni lagi, PH tidak menekan UMNO dan mereka sangat bersetuju dengan apa yang parti ini mahukan terutamanya empat perkara iaitu tentang Raja-raja Melayu, hak orang Melayu dan Bumiputera, agama dan Bahasa Melayu.

“Kita tidak rasa terjejas walaupun UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, kita tidak akan berganjak mempertahankan empat perkara tersebut.

“Kita sedar bahawa sayangnya undi kita… biar ada seorang wakil rakyat di sini, tambahan pula calon Kerajaan Perpaduan adalah wanita,” ujarnya.

Seterusnya beliau melahirkan harapan agar DUN Kuala Kubu Bharu ini kekal milik Kerajaan Perpaduan dan pengundi harus keluar awal bagi membuang undi.

“Keluar mengundi awal dan pastikan wanita keluar awal terutamanya jentera-jentera Wanita dan selepas itu kita pastikan pengundi dijaga, kita keluar mengundi supaya menepati sasaran yang dimahukan. Insya-Allah… calon Kerajaan Perpaduan boleh menang besar pada PRK Kuala Kubu Bharu,”ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.