Pameran DSA, NATSEC Manfaat Pelbagai Pemegang Taruh… Bina Jaringan – Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Pameran Perkhidmatan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia memanfaatkan pelbagai pemegang taruh, termasuklah membina jaringan di samping menyatukan semua dari pelusuk dunia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa beliau telah menghadiri majlis sambutan rasmi pameran DSA dan NATSEC, semalam.

“Malam tadi, saya berpeluang menghadiri majlis sambutan rasmi pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di Kuala Lumpur.

“Pameran seperti DSA dan NATSEC Asia ini memanfaatkan pelbagai pemegang taruh, termasuklah dalam membina jaringan dan menyatukan semua dari seluruh pelusuk dunia.

“Di samping untuk melihat sendiri kemajuan dan teknologi pertahanan terkini, ruang yang ada ini wajar digunakan untuk menyumbang kepada kemajuan dan keselamatan serantau,” katanya,

Menurutnya, pameran ini juga merupakan medium jalinan dan perkongsian melibatkan komuniti pertahanan global.

“Matlamat pameran ini bukan hanya tentang senjata, teknologi mahupun keupayaan baharu semata-mata. Tetapi ia juga tentang jalinan dan perkongsian melibatkan komuniti pertahanan global, yang merupakan sebahagian daripada proses pembentukan masa depan pertahanan dan keselamatan yang lebih baik. Marilah sama-sama kita merebut peluang yang luas dan pelbagai melaluinya.

“Selamat datang saya ucapkan kepada semua tetamu yang hadir, sama ada yang jauh mahupun dekat. Terima kasih kerana turut serta dan memberikan sokongan yang jitu terhadap DSA dan NATSEC Asia tahun ini,” katanya lagi.

Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 yang bermula pada hari ini mempamerkan teknologi dan aset peperangan elektronik tercanggih di dunia dalam sektor pertahanan darat, udara serta laut.

Acara dwitahunan yang memasuki edisi ke-18 kali ini membawa tema Building Resilient Nations For The Next Generation itu disertai lebih 1,200 syarikat dari 45 negara.

Dijadualkan berlangsung selama empat hari di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, acara itu turut menjadi tempat pertemuan utama bagi pengeluar, pembekal, agensi dan organisasi bertukar pendapat dan membina kesefahaman serta kerjasama. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.