Malaysia Ketengah Isu-isu Kepentingan Masyarakat Islam Global, Islamofobia Dan Krisis Palestin
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Malaysia mengetengahkan isu-isu kepentingan masyarakat Islam global termasuk Islamofobia dan kesejahteraan ummah pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-15 yang berlangsung di Banjul, Republik Gambia.
Pendirian itu disampaikan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut sama menfokuskan penderitaan rakyat Palestin, pendudukan haram Israel dan menyeru supaya tindakan segera diambil bagi menangani ketegangan yang meningkat di Timur Tengah.
“Malaysia telah mengetengahkan pandangan berhubung isu-isu berkepentingan bagi umat Islam, seperti situasi di Palestin dan Timur Tengah.
“Isu mengenai Islamofobia, golongan minoriti masyarakat Islam dan kerjasama ekonomi turut disuarakan selain menjelaskan inisiatif-inisiatif yang diambil oleh Malaysia dalam memperjuangkan kepentingan dan kesejahteraan Ummah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dalam pada itu berkata penyertaan Malaysia di sidang kemuncak ini melambangkan usaha-usaha berterusan dan komitmen jitu Malaysia dalam memainkan peranan aktif di OIC.
“Ia juga mempamerkan kesungguhan Malaysia untuk bersama-sama dengan negara-negara OIC dalam mencari jalan penyelesaian terhadap pelbagai cabaran yang diharungi oleh umat Islam,” ujar beliau.
Menerusi hantaran baharu, beliau turut berkongsi pertemuannya bersama rakan sejawat dari Bangladesh, Dr Hasan Mahmud.
Pertemuan tersebut antara lain memutuskan untuk mengeratkan lagi hubungan baik antara Malaysia dan Bangladesh yang sudah terjalin sejak tahun 1972. – UMNO Online